F Spider tampil dengan Ankabut | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Spider tampil dengan Ankabut

MASIH lagi terngiang-ngiang lagu ‘Relaku Pujuk’ yang popular pada 2004. Lagu itu juga berjaya meletakkan Spider antara kumpulan yang sudah gah dalam gelanggangnya sendiri.

Kehebatan aura ‘Relaku Pujuk’ membuatkan juri sebulat surat memilih lagu berkenaan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-19 serta album mereka, Nazraku dinobatkan sebagai album terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-12.

Lagu itu sekaligus mengangkat kumpulan Spider dalam usaha memperjuangkan muzik mereka di dalam industri tempatan sejak 1999.

Perjalanan Spider bukanlah mudah memandangkan kumpulan itu sudahpun 20 tahun bertapak di dalam industri muzik tanah air.

Pada tanggal 28 Ogos lalu, bangunan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim menjadi saksi kepada pelancaran album terbaru mereka yang diberi nama Ankabut.

Album tersebut boleh dilihat sebagai simbolik sempena 20 tahun perjuangan Spider. Selain itu, ia adalah buah tangan kepada peminat yang rindukan hasil kerja mereka memandangkan album terakhir Spider, ‘Kitasatu’ diterbitkan enam tahun lalu.

Menurut Tam, mereka tidak mempunyai niat untuk lambat mengeluarkan album baharu, sebaliknya, masing-masing mempunyai komitmen sendiri.

“Kesemua ahli Spider kini sudah berumah tangga. Kalau dahulu, mungkin senang untuk kami berkumpul bagi menghasilkan lagu baru, namun kini, kami agak susah untuk berkumpul.

"Tetapi kami tetap berusaha juga untuk berkumpul sehingga terciptanya Ankabut. Alhamdulillah,” katanya kepada Media Hiburan.

Bercerita mengenai album tersebut, kata Tam, idea untuk menghasilkan Ankabut terbit kira-kira tiga tahun lalu, namun ketika itu masih tidak mempunyai idea lagu apa yang ingin dimuatkan dalam album tersebut.

Oleh itu, Spider sepakat untuk membawa diri ke Rompin, Pahang bagi mendapatkan idea untuk mencipta lagu.

“Kami hasilkan lima album terdahulu di dalam studio. Jadi, kami agak tepu dan kekeringan idea untuk buat lagu baru.

“Jadi, Spider ambil keputusan berkampung di Rompin bagi mencipta lagu baru dalam suasana yang lebih tenang. Setelah seminggu berkampung dengan menghayati keindahan pantai, hasilnya, kami berjaya menghasilkan lebih 10 lagu,” katanya.

Setibanya di ibu kota, Spider terus memilih 10 lagu terbaik dan cuba mencantikkan lagu yang dipilih untuk dimuatkan ke dalam Ankabut.

Ditanya apakah perbezaan Ankabut berbanding albumnya terdahulu, Tam memberitahu, album itu adalah album paling matang yang pernah dihasilkan oleh mereka.

“Kami menitikberatkan penulisan lirik supaya ia mempunyai makna dan peminat jelas dengan apa yang disampaikan melalui sesebuah lagu.

“Selain itu, untuk penghasilan album kali ini, kami tidak menggunakan alat muzik jenis tiup. Namun, ia tidak menjejaskan genre ska yang sentiasa menjadi identiti muzik kami selama ini,” katanya.

Loloq sentiasa di hati

Meskipun Allahyarham Loloq sudah lapan tahun menghadap Illahi, auranya masih lagi berada di dalam setiap anggota band tersebut.

Bagi Spider, Allahyarham adalah salah seorang insan yang mengangkat mereka sehingga ke tahap ini dan telah berkorban banyak perkara untuk membantu Spider.

“Semasa kami buat lagu di Rompin, kami semua terbayang betapa seronoknya sekiranya Allahyarham ada di sisi kami.

“Namun, kami kena teruskan perjuangan kami meskipun beliau sudah tiada. Loloq sentiasa berada di dalam hati kami,” katanya.

Ditanya adakah Spider akan membuat konsert sebagai tanda penghargaan kepada Allahyarham, Tam berkata, kumpulannya belum berbincang mengenai perkara tersebut.

"Jika ada pihak yang ingin menganjurkan konsert tersebut, kami akan memikirkan perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.

Dalam pada itu, Tam mengucapkan ribuan terima kasih kepada syarikat naungan mereka, Luncai Emas Sdn Bhd yang diterajui Datuk M Nasir kerana sudi menerbitkan Ankabut.

“Kita sedia maklum kebanyakan artis sekarang tidak berani untuk menerbitkan album baru setelah melihat situasi ekonomi negara pada masa ini.

“Tetapi, Luncai Emas mempunyai kepercayaan terhadap Spider bahawa Ankabut mampu dijual meskipun dalam situasi terkini dan kami ucapkan ribuan terima kasih kepada mereka,” katanya.

Tam berkata, Spider merancang membuat jelajah di beberapa kawasan luar bandar sebagai lokasi untuk mempromosikan Ankabut kerana yakin terdapat ramai peminat Spider di sana yang menantikan album baharu mereka.

“Kami sedang memilih lokasi sesuai sebagai lokasi jelajah Spider. Sekiranya lokasi dan tarikh sudah dipilih, Insya-ALLAH kami akan uar-uarkan di laman media sosial rasmi kami,” katanya.
Powered by Blogger.