F Sisi Lincah, Romantik Afgan Dalam 'Afgan Sides Live In Malaysia 2016' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Sisi Lincah, Romantik Afgan Dalam 'Afgan Sides Live In Malaysia 2016'

Malam Sabtu lalu meninggalkan memori manis buat peminat Afgan apabila penyanyi terkenal Indonesia itu tampil dengan konsert solo keduanya iaitu Afgan Sides Live in Malaysia 2016 yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Kesesakan di PWTC ekoran penganjuran MATTA Fair dan hujan renyai yang membasahi juga langsung tidak melemahkan semangat 3,000 peminat yang rata-rata menantikan kehadiran penyanyi terkenal dengan lagu Jodoh Pasti Bertemu itu.

Tepat pukul 8.30 malam Dewan Merdeka gamat dengan jeritan peminat apabila Afgan tampil di atas pentas menyanyikan lagu Bukan Cinta Biasa secara accapella.

Tidak membiarkan keterujaan penonton berakhir, Afgan dibantu oleh pemuzik dan penyanyi latarnya menyertainya ketika mendendangkan lagu rancak berjudul Pesan Cinta sebelum menghiburkan peminat dengan lagu terbaharunya Roller Coaster, Katakan Tidak dan Betapa Aku Cinta Padamu.

Kelincahan Afgan menerusi koleksi lagu-lagu berkenaan nyata membuktikan kemampuan Afgan bukan sahaja sekadar mampu menyampaikan lagu balada tetapi sebenarnya dia seorang penyanyi versatil.

Jelas, Afgan menunaikan janjinya ingin memperlihatkan sisi lainnya kepada peminat dalam konsert berkenaan dan ia cukup menghiburkan.

Sempat bertanya khabar dan mengucapkan terima kasih kepada peminat yang hadir menonton konsertnya itu, Afgan turut melahirkan rasa terharunya apabila Ratu Jazz negara, Datuk Shiela Majid turut hadir ke konsert berkenaan.

Bertambah manis, Afgan berkata, keluarganya termasuk ibu dan bapanya turut hadir ke konsert itu dan ia adalah konsert bersejarah untuknya.

"Terima kasih Sheila Majid kerana hadir. Anda bukan sahaja idola saya tetapi kini saya boleh memanggil anda sebagai kawan baik saya.

"Malam ini juga bertambah istimewa kerana keluarga saya datang khas dari Jakarta untuk menghadiri konsert ini malah mereka bertanya adakah mereka boleh berselfie dengan Sheila Majid," katanya.

Afgan juga turut mempersembahkan sebuah lagu milik Sheila berjudul Selamanya sebagai tribut kepada penyanyi itu selain memilih Crush nyanyian asal Yuna dan Usher.

Dalam pada itu, Afgan meneruskan persembahan dengan lagu-lagu seperti Tak Peduli selain medley lagu berbahasa Inggeris seperti Count on Me, Thinking About You dan Brand New Day.

Persembahan pada malam itu mula bertukar sedikit emosi apabila Afgan tampil mendendangkan lagu balada daripada album terbaharunya iaitu Bawalah Cintaku, Kunci Hati dan Aku Dengannya Kau dan Dia.

Teringat penulis ulasan seorang teman selepas slot yang penuh emosi itu berakhir bahawa penyanyi lelaki yang baik memang ramai namun Afgan mampu meninggalkan bekas di hati yang mendengar suaranya.

Konsert Afgan Sides Live in Malaysia 2016 dianjurkan oleh Dazzling Lifestyle dan dipersembahkan oleh Obermain.


Sementara itu, Afgan tidak membiarkan emosi sayu penonton dibiarkan terlalu lama apabila kembali dengan set lagu rancak popularnya iaitu Knock Me Out.

Kemunculan penyanyi rap, SonaOne juga menghangatkan suasana yang muncul dengan persembahan selingan menerusi lagu Hakeleh sebelum muncul bersama Afgan mendendangkan lagu duet berjudul X.

Antara lagu lain yang turut disampaikan Afgan adalah Jalan Trus dan medley, Setia Menunggu, Terima Kasih Cinta dan Entah.


Penyanyi itu juga turut menyampaikan lagu This Is Where You Came From dan Can't Stop The Feeling.

Slot terakhir konsert hampir dua jam itu diakhiri dengang lagu Percayala, Jodoh Pasti Bertemu, Panah Asmara dan Bukan Cinta Biasa.

Afgan nyata membuktikan sisi lain dalam persembahan tersebut dan dengan hala tuju barunya menerusi muzik ditampilkan, penyanyi berusia 27 tahun itu akan berada lama dalam bidang nyanyian.
Powered by Blogger.