F Siri terakhir Juvana lebih aksi, drama | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Siri terakhir Juvana lebih aksi, drama

SETELAH menemui penonton dalam dua filem terdahulu iaitu Juvana (2013) dan Juvana 2: Terperangkap Dalam Kebebasan (2015), kali ini rantaian filem yang diadaptasi daripada drama siri popular Juvana tampil dengan sekuel terbaru berjudul Juvana 3: Perhitungan Terakhir.

Untuk kesinambungan filem ini, skripnya masih dihasilkan oleh Alfie Palermo, diarahkan Faisal Ishak dan diterbitkan bersama Filmscape Sdn. Bhd., Juita Viden Sdn. Bhd. serta Star Media Group Berhad.

Berkongsi mengenai pembikinan, Faisal yang juga pengarahnya berkata, penggambaran filem ini bermula sejak 28 April hingga 14 Jun 2014 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (Maeps) Serdang, di mana satu set dibina untuk Juvana.

"Penggambaran Juvana 3  dilakukan serentak dengan Juvana 2. Selain Maeps, kita turut menjalani penggambaran di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang," katanya.

Jelasnya, cabaran utama filem ini adalah penelitian perkembangan watak dan jalan cerita agar penyudahan Juvana memberi kesan kepada penonton terutama pengikut setia siri dramanya.

"Kami banyak menaik taraf babak-babak lagak ngeri. Selain itu, kami lebih menekankan perincian pre-produksi dan jalan cerita," katanya.

Faisal berkata, filem ini juga menjadi sebuah karya sentimental tersendiri buatnya dan para pelakon.

"Ini adalah yang terakhir, jadi dengan cara tidak langsung ianya sebagai hadiah dan penghargaan kepada semua yang menyokong kami selama ini.

"Dari TV siri 13 Episod, hingga ke Juvana 1, 2 dan kini cerita penyelesaian. Bertahun tahun kami bersama dari 2010, sekarang tiba masanya untuk ucap selamat tinggal," katanya.

Faisal menaruh harapan sama ada peminat ataupun tidak yang akan menonton Juvana kelak, menerima filem ini dengan fikiran terbuka.            

"Selain hiburan, jika terdapat iktibar yang boleh diambil darinya, Alhamdulillah kami bersyukur.

"Buat masa ini, tidak terlintas langsung bagi Juvana untuk kembali," ujarnya.

Filem yang padat dengan drama dan aksi membabitkan golongan remaja terbabit dalam gejala sosial seperti gengster dan sindiket pelacuran ini masih lagi mengekalkan teraju utama seperti Johan As’ari, Zahiril Adzim dan Adam Shahz.

Merupakan kesinambungan sekuel terdahulu, dalam siri ketiga filem ini Botak, Daim dan Ayam hanya menyedari perjanjian mereka bertiga dengan Raja demi membebaskan Sara, ayah Botak dan adik-beradik Apek memakan diri.

Sebenarnya, Raja merupakan dalang di sebalik penculikan yang dilakukan kerana mahu membalas dendam terhadap mereka yang menjadi punca disumbat ke penjara serta merampas organisasi jenayah daripada Tok Jebat dan Tok Ki.

Selain itu, Daim yang tidak dapat menerima kenyataan setelah kekasihnya, Sara yang mati akibat ditikam Tok Ki, mengalami gangguan emosi. Kemudian dia menjauhkan  diri dari rakan-rakannya serta menganggap mereka sebagai musuh.

Termakan dengan pujukan Raja, Daim memilih bekerja dengannya. Manakala Botak dan Ayam, terpaksa bersetuju bekerja dengan Raja sebagai galang ganti kebebasan dan keselamatan ayah Botak dan adik-beradik Apek.

Terperangkap dalam permainan Raja, persahabatan mereka sekali lagi teruji apabila Raja dengan bijak memanipulasi dan melaga-lagakan mereka hingga masing-masing mencurigai antara satu sama lain.

Dalam situasi menghimpit, harapan mereka terletak pada rakan-rakan lain. Namun, adakah mereka dapat dijejaki dan sempatkah mereka diselamatkan sebelum terlewat?

Saksikan Juvana 3: Perhitungan Terakhir di pawagam seluruh negara pada 29 September 2016.
Powered by Blogger.