F 'Saya bukan mahu berlagak, cakap besar tapi...' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

'Saya bukan mahu berlagak, cakap besar tapi...'

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa beliau adalah orang paling layak untuk mengubah hala tuju bola sepak negara.

Menerusi kenyataan beliau di Facebook rasmi Johor Southern Tigers, Tunku Ismail berkata, kenyataan itu bukan untuk mendabik dada sebaliknya beliau mempunyai formula yang telah terbukti berjaya.

"Saya ingin berterus terang, bukan kerana disebabkan angkuh atau mahu berlagak, tetapi saya adalah orang paling sesuai untuk mengubah bola sepak tanah air. Bukan mahu cakap besar, tetapi saya tahu saya mempunyai formula dan formula itu telah berjaya dalam JDT," katanya.

Ujarnya lagi, seandainya beliau berjaya mengambil alih skuad kebangsaan, pemain pasti boleh melakukan perkara yang sama seperti mana Johor Darul Ta'zim (JDT) namun menegaskan ia tidak semestinya boleh terus menang.

"Anda kena tahu, secara realistiknya banyak kelemahan dalam FAM untuk tempoh 30 tahun, jadi sekiranya saya ambil alih pun sekurang-kurangnya saya memerlukan 4 tahun untuk mengubahnya. Walau bagaimanapun, saya tidak boleh lakukan kerana komitmen saya adalah di sini (Johor). Apa yang boleh saya lakukan adalah membantu memberikan pandangan," katanya.

Tunku Ismail berkata, fokusnya kini masih di JDT kerana banyak lagi tugasan beliau yang belum selesai seperti belum lagi layak ke pentas saingan ACL, stadium baharu dan akademi baharu juga masih belum siap.

"Setiap kali bila orang tanya saya berkaitan menjadi Presiden FAM, saya macam 50/50

"Kerana saya tahu perubahan yang saya boleh lakukan. Tetapi dalam masa yang sama saya tidak mahu. Hanya penyokong JDT sahaja yang menghargai perubahan yang saya buat. Tetapi orang lain yang rasa macam dah pandai sangat, terutama dalam laman web ‘lain-lain’. Saya rasa kenapa tidak lantik mereka sahaja untuk menguruskan pasukan bola sepak tanahair, kenapa perlu saya pula?," katanya.

Menceritakan pengalamannya, Tunku Ismail atau mesra digelar TMJ berkata, pernah suatu ketika pasukan kebangsaan bermain Piala AFF Suzuki di Singapura dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memintanya masuk ke bilik persalinan untuk memberi semangat dan menaikkan motivasi pemain.

"Saya kemudiannya pergi ke bilik persalinan itu, tetapi saya tidak tahu nak cakap apa. Di Johor, saya tahu apa yang nak dicakapkan dan saya tahu bagaimana nak naikkan semangat pemain.

"Ini kerana kasih sayang saya terhadap negeri saya, termasuklah pemain-pemain yang memakai baju JDT dan kami berada di dalam satu organisasi yang dianggap seperti keluarga," ujarnya.

Tambah Tunku Ismail, dalam situasi itu beliau tidak tahu apa yang mahu diberitahu dan kebanyakannya bukan pemain JDT.

"Saya boleh memberi motivasi untuk mengingatkan agar menjadi pemain profesional tetapi saya rasa itu tidak kena kerana ia tidak datang daripada hati, ia datang daripada mulut saya.

"Saya lebih suka apa yang saya sampaikan datang daripada hati saya.

"Untuk membantu FAM, kemungkinan adalah sukar. Tetapi untuk memberikan pendapat, visi serta polisi untuk mempertingkatkan mutu bola sepak dan memperbaiki bola sepak tanah air dalam segala aspek, Insya-ALLAH," katanya lagi.
Powered by Blogger.