F 'Saloma negeri Johor' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

'Saloma negeri Johor'

SIAPA yang tidak kenal dengan penyanyi Salwa Abdul Rahman yang suatu ketika dahulu pernah popular dengan lagu-lagu seperti Satu Dua Kau, Jangan Malu-Malu, Cubit-Cubit Sayang dan lain-lain.

Meski sudah lebih 30 tahun dalam bidang seni, penyanyi kelahiran Johor ini masih lagi diminati sehingga kini.

“Saya sendiri pun tidak sedar yang saya sudah berkecimpung dalam bidang seni selama 30 tahun. Meskipun ramai penyanyi baru muncul bersilih ganti, tapi masih ada lagi mengingati saya.

“Sehingga kini, saya masih lagi menerima pelbagai jemputan persembahan sama ada untuk program TV ataupun majlis biasa,” kata isteri kepada bekas pemain bola sepak, Subadron Aziz ini.

Mengimbas kembali perjalanan kerjaya seninya suatu ketika dahulu, kata Salwa, dia mula menceburi bidang nyanyian secara serius selepas bergelar juara dalam pertandingan nyanyian untuk merebut gelaran Saloma Negeri Johor sekitar 1985.

“Saya sebenarnya memang minat menyanyi dari kecil. Mungkin juga kerana keluarga juga berdarah seni di mana bapa merupakan pemain ghazal, dan ibu pula penyanyi lagu-lagu asli.

“Namun ketika masih bersekolah, kedua ibu bapa tidak begitu menggalakkan saya untuk terlibat dalam bidang seni. Jadi hanya selepas tamat SPM, barulah saya dibenarkan mengejar impian bergelar penyanyi,” katanya.

Katanya, penglibatan pertama itu hanyalah kebetulan apabila memenangi pertandingan nyanyian Saloma Negeri Johor.

“Saya mendapat tawaran untuk merakamkan album daripada syarikat rakaman Segar Indah Production yang beroperasi di Singapura.

“Bersama mereka, saya tampil dengan album pertama, Liku Hidupku,” imbas Salwa.

Hijrah ke Kuala Lumpur

Demi mengukuhkan kerjaya seninya, Salwa akhirnya membuat keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur atas nasihat rakannya, penyanyi Azizul Khamis.

“Jika diikutkan, sebenarnya keputusan itu sangat sukar untuk saya lakukan. Meninggalkan keluarga di kampung untuk mengejar impian bukanlah sesuatu yang mudah.

“Apatah lagi saya juga tidak mempunyai tempat tinggal di Kuala Lumpur. Namun, atas bantuan Azizul dan abangnya, Khairil Khamis, saya ditumpangkan di rumah adik perempuan mereka di Flat Pekeliling.

“Selepas itu saya mula bekerja keras untuk mencari peluang yang lebih baik untuk kerjaya. Saya bertemu komposer S Atan dan dia kemudiannya memperkenalkan saya kepada syarikat rakaman Musicland,” ceritanya.

Tambah Salwa, bersama-sama mereka ini, dia tampil dengan album kedua yang bertajuk Satu, Dua Kau pada 1986.

“Selepas kelahiran album kedua inilah, nama saya mula dikenali ramai dan seterusnya mendapat pelbagai peluang menjayakan persembahan di sana sini,” kata ibu kepada dua anak ini.

Menurut Salwa, selepas kerjaya nyanyiannya stabil, dia mula berpindah ke rumah baharu dan menyewa bersama rakan artis, Ramlah Ramlah. Malah banyak cerita suka duka yang turut dikongsi bersama penyanyi itu.

“Dulu kami sentiasa bertemu setiap kali terlibat dalam persembahan dan hubungan kami sesama rakan artis sangat rapat.

“Kalau ada masalah, kami saling membantu. Berbeza dengan situasi sekarang di mana saya lihat kebanyakan artis baru lebih suka membawa haluan masing-masing.

“Antara sesama mereka pun, ada yang tidak kenal. Apatah lagi nak bergaul dengan artis-artis yang lebih senior,” katanya.

Ceritanya, semasa zamannya, mereka memang baik dengan semua artis tidak kira baharu atau lama.

“Saya sendiri ketika itu, mempunyai hubungan yang baik dengan artis-artis seperti Tan Sri SM Salim, Rosiah Chik, Hail Amir dan ramai lagi,” katanya.

Pernah ditipu

Berkongsi tentang dugaan yang pernah dilaluinya sepanjang bergelar anak seni, kata Salwa, dia pernah ditipu beberapa pihak apabila persembahannya tidak dibayar.

Bagaimanapun, dia tidak pernah memperbesarkan hal itu kerana menganggap ia bukan rezeki.

“Dugaan kena tipu memang perkara biasa buat kami ketika itu. Waktu itu kami masih muda dan tidak tahu bagaimana untuk bertindak kepada pihak berkenaan.

“Jadi ia berlalu begitu sahaja walaupun kami sebenarnya sangat kesal dengan perkara sebegitu. Ya lah, kami pun bukan banyak duit. Nak pergi show pun kena turun naik bas atau teksi kerana tidak mempunyai kenderaan sendiri.          

“Selain itu, dugaan yang saya tak dapat lupakan bila berdepan dengan gosip. Saya kasihankan keluarga di kampung kerana mereka tidak faham dengan apa yang berlaku sebenarnya.

“Antara yang saya paling ingat bagaimana bapa saya mendapat serangan jantung dan kemudiannya meninggal kerana terkesan dengan satu gosip yang mengaitkan saya,” katanya yang kini mampu berbangga dengan pencapaiannya dalam bidang seni.
Powered by Blogger.