F Pengadun bunyi, bukan tugas mudah | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Pengadun bunyi, bukan tugas mudah

KESAN bunyi atau audio berperanan penting dalam sesebuah persembahan.

Tambahan pula, kesan bunyi yang baik dapat mewujudkan situasi yang seimbang dan harmoni.

Pun begitu, bukanlah mudah untuk menggalas tugas sebagai pengadun bunyi.

Menurut Mazlan Hasim, tanggungjawab pengadun bunyi merangkumi daripada sudut awal proses perjalanan produksi sehinggalah tamatnya sesebuah persembahan itu.

"Bidang ini sangat menguji kepakaran diri dan mental, apatah lagi dengan kecanggihan teknologi masa kini.

"Lagi pula, skop tugasannya juga meliputi pelbagai segi iaitu daripada aspek teknikal, kemahiran, pengalaman serta memerlukan daya kreativiti yang tinggi," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya lagi, pengadun bunyi juga perlu berhadapan dengan cabaran utama iaitu masa yang tepat!.

"Sekiranya sesuatu persembahan dilakukan dalam masa yang terhad, ia akan menambahkan lagi kerja-kerja atau proses pengadunan.

"Ini kerana, proses pengadunan memerlukan masa yang cukup terutama daripada segi persiapan teknikal dan latihan agar semuanya berjalan dengan lancar," katanya.

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini memberitahu, selain bakat, seseorang itu perlulah mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang berkaitan terutamanya muzik dan audio.

"Kita juga perlu rajin dan sentiasa berusaha untuk mempelajari teknologi baharu yang semakin canggih.

"Insya-ALLAH, dengan hasil usaha ini, pasti saja kejayaan akan tiba suatu hari nanti,” katanya.

Terus positif

Dalam pada itu, Mazlan yang berpengalaman hampir 20 tahun dalam bidang ini mengakui berpuas hati dengan hasil kerjayanya itu.

"Karier saya bermula di Kompleks Budaya Negara (KBN) pada 1997.

"Tugas pertama saya ialah menjadi pengadun bunyi bagi Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan yang dipersembahkan di Panggung Eksperimen (ET) di KBN.

"Alhamdulillah, kejayaan konsert itu membantu menaikkan lagi semangat saya untuk terus mendalami lagi bidang yang sangat mencabar ini.

"Jujurnya, bidang ini sangat memberi kepuasan yang tidak terkata. Tak tahu macam mana saya nak gambarkannya,” katanya sambil tersenyum.

Lebih indah, anak muda berusia 41 tahun ini mengakui sangat terharu apabila diberi kepercayaan untuk mempromosikan Malaysia di mata dunia.

"Pencapaian terbesar saya adalah apabila diberi tanggungjawab mewakili Malaysia untuk persembahan di luar negara seperti Malaysia Week in London, Malaysia Week in Istanbul dan Ankara dan World Expo Yeosu Korea.

“Sasaran saya adalah untuk meningkatkan lagi kerjaya ini ke tahap yang lebih tinggi supaya generasi yang akan datang lebih peka seterusnya berlumba-lumba untuk mempelajarinya,” katanya.

Selain itu, anak kelima daripada 10 beradik ini juga terlibat dalam pelbagai teater dan konsert seperti Ali Baba The Musical, Teater Muzikal Gerimis Mengundang, Asean Musical Extravaganza, International Children Arts Festival Concert, Teater Badai Semalam, Konsert Gegar 5 Legenda, Muzikal Siti di Alam Fantasi, Konsert Magic of Asean Dato Siti Nurhaliza  bersama Orkestra dan lain-lain.

Pada masa sama, bapa kepada lima anak ini positif terhadap perkembangan kerjaya sebagai pengadun bunyi di Malaysia.

"Alhamdulillah, saya melihat kerjaya ini semakin berkembang dan mempunyai potensi untuk pergi ke tahap yang lebih tinggi lagi.

"Lagi pula, kini, teknologi canggih semakin  pesat dan pantas membangun di seluruh dunia.

"Jadi, peluang untuk mendalami kerjaya ini semakin meluas dengan adanya kemudahan Internet," katanya.

Justeru, Mazlan meletakkan harapan tinggi kepada generasi baharu yang berminat supaya lebih mendalami bidang ini.

"Semoga ramai anak muda di luar sana dapat menjadikan bidang ini sebagai kerjaya yang meluas.

"Mana tahu, mungkin ia mampu menjadi peneraju dan pemangkin untuk industri yang semakin berteknologi tinggi serta berdaya saing," katanya.
Powered by Blogger.