F Pembaca Berita RTM Bernikah Dengan Sultan Selangor | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Pembaca Berita RTM Bernikah Dengan Sultan Selangor

Di hari Jumaat yang barakah ini, rakyat Selangor mendapat berita gembira baginda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selamat diijabkabulkan dengan Norashikin Abdul Rahman, 45 pada 31 Ogos lalu.

 Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pernikahan itu dijalankan oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

"Majlis pernikahan selamat disempurnakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang secara sederhana dan ringkas atas titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

"Majlis dihadiri Timbalan Mufti Selangor, Dr Anhar Opir, Imam Paduka Tuan, Mohd Rasid Mahful, Bekas Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar, Ahli Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin, bapa serta ahli keluarga pengantin perempuan," katanya dalam satu kenyataan.

..‎Difahamkan, Norashikin merupakan penyampai berita di stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan berasal dari Kuala Lumpur adalah anak bongsu daripada tiga beradik.

Norashikin sebelum ini juga pernah meraih anugerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2005 (ASA2005).

Sultan Sharafuddin Idris Shah merupakan Sultan Selangor ke-9 yang memerintah negeri Selangor sejak 22 November 2001 berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.

Pada tahun 1968, baginda berkahwin dengan Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal dan dikurniakan dua puteri, Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah.

Setelah berpisah pada 1986, baginda berkahwin dengan seorang warga Amerika Syarikat, Nur Lisa Idris Abdullah pada tahun 1988 (berpisah pada 1997) dan mempunyai seorang putera, Tengku Amir Shah hasil perkahwinan tersebut.
Powered by Blogger.