F Pelajar IPT disaran miliki lebih dua ijazah | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Pelajar IPT disaran miliki lebih dua ijazah

Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) disaran menggunakan kaedah pembelajaran secara dalam talian untuk memiliki lebih daripada satu ijazah, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.  

Menurutnya ia bagi memudahkan mereka memasuki pasaran kerja berikutan terdapat pelbagai pihak termasuk sektor industri dan majikan mengakui graduan yang mempunyai satu ijazah lebih sukar mendapat pekerjaan.  

"Sistem pendidikan tinggi kita sedang berubah untuk membina jenama pendidikan Malaysia dan dengan itu kita laksanakan pendekatan yang lebih fleksibel supaya rakyat dapat memiliki sekurang-kurangnya dua ijazah.

"Jadi, bila tamat pengajian kelak, graduan akan mempunyai lebih banyak peluang memasuki pasaran kerja dengan pelbagai kelayakan dan kemahiran yang ada," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan jelajah program 'Soaring Upwards: Let's Talk Higher Education', di Management and Science University (MSU) di sini, hari ini.  

Mengambil contoh kursus "Massive Open Online Courses (MOOC)" yang ditawarkan di 20 universiti di negara ini, Idris menyifatkan ia mampu meletakkan kualiti sistem pendidikan tinggi negara bertaraf dunia dalam melahirkan lebih banyak graduan memiliki lebih daripada satu ijazah.

MOOC yang dilancarkan Kementerian Pendidikan Tinggi pada September 2014 menawarkan lebih 60 kursus secara dalam talian di 20 universiti awam di negara ini.  

Ia ditawarkan secara percuma menerusi platform www.OpenLearning.com kepada semua penuntut universiti dan orang awam.

Mengulas berhubung program 'Soaring Upwards', Idris berkata kementerian itu mengambil pendekatan baharu dengan membawa peserta industri dalam program itu untuk mendekati penuntut dan graduan bagi meyakinkan mereka mengenai kualiti pendidikan tinggi negara.  

Katanya pengalaman ikon-ikon industri dalam pelbagai bidang itu boleh dijadikan inspirasi kepada para pelajar untuk lebih berjaya.

'Soaring Upwards' merupakan usaha yang dilaksanakan KPT untuk menyebar luaskan maklumat mengenai perkembangan pendidikan tinggi negara termasuk kejayaan yang telah dicapai pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Powered by Blogger.