F Na'im Daniel aktif di belakang tabir | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Na'im Daniel aktif di belakang tabir

SELAIN bergelar pelakon, Na'im Daniel juga bergerak aktif sebagai pekerja di belakang tabir.

Pada masa sama, anak muda berusia 19 tahun ini mengakui minat untuk 'meneroka dan mencuba' pelbagai bidang baharu.

"Secara asasnya, saya juga bermula sebagai kru produksi.

"Ibu dan bapa saya terlibat dalam penyediaan makanan untuk golongan pekerja di belakang tabir.

"Jadi, apabila berkelapangan saya akan turut serta membantu mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, secara tidak langsung, situasi itu mendedahkannya kepada dunia sebenar pekerjaan di belakang tabir.

Bahkan, atas dasar sikap ingin tahu, pemilik nama sebenar, Muhammad Na'im Daniel Baharin ini berpeluang mempelajari selok-belok kerja di belakang tabir sewaktu berada di lokasi penggambaran.

"Jujurnya, saya memang suka terlibat dengan pelbagai kerja di belakang tabir terutamanya  berkaitan dengan bunyi-bunyian (sound).

"Lagi pula saya ini jenis yang suka bertanya dengan semua kru produksi. Tidak kiralah mengenai apa-apa pun.

"Alhamdulillah, saya bertuah kerana berpeluang belajar secara teknikal dan ini merupakan bonus yang tidak akan dapat di luar," katanya.

Pada masa sama, Na'im Daniel turut mengakui kedua-dua bidang ini - pelakon dan kerja di belakang tabir - memberi kepuasan yang tersendiri dalam hidupnya.

Jadi penyanyi?

Berikutan minat mendalam terhadap bidang muzik, Na'im Daniel turut terbabit dalam pembuatan runut bunyi (OST) dan komposisi skor muzik.

Pada masa sama, anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga berjinak-jinak dalam bidang pengarahan dan penyuntingan.

"Sebenarnya, minat saya kepada dunia muzik bermula sejak kecil. Hampir semua hasil kerja saya lebih kepada drama-drama indie dan filem pendek," katanya yang merupakan peminat setia kumpulan Hujan.

Menurutnya, antara filem pendek yang dihasilkan ialah Aku (2014) dan Paranoid (2015) serta boleh ditonton menerusi Youtube.

Lebih menarik, dalam diam, Na'im Daniel juga mempunyai bakat terpendam sebagai penyanyi bahkan sudah memuat naik beberapa lagu versi ‘cover’ ke dalam Youtube.

Antara lagu yang dinyanyikan semula ialah Angin Kencang (Noh Salleh), Biar Seribu (Noh Salleh), Masih Berdiri (Tengku Adil), Thinking Out Loud (Ed Sheeran), Blank Space (Taylor Swift), Poret (Akim & Majistret), Love Yourself (Justin Bieber), Suatu Pernah (Fynn Jamal), Sandiwara Cinta (Republik) dan Romancinta (Mojo).

"Selain menyanyikan semula, saya juga ada terbabit dalam bidang penciptaan lagu. Namun, semua lagu itu, saya hanya jadikannya sebagai koleksi peribadi.

"Sebenarnya, saya bercita-cita mahu menjadi seorang jurutera bunyi suatu hari nanti," katanya yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Pun begitu, pelakon drama Jangan Ambil Padang Kami ini berpendapat masih belum tiba masanya untuk mengembangkan bakat sebagai penyanyi.

"Ya, saya memang suka menyanyi dan bermain muzik. Saya lakukannya sekadar suka-suka demi mengisi masa lapang.

"Insya-ALLAH, saya akan bekerja keras dalam mempamerkan bakat ini tetapi bukan melalui penyertaan dalam program realiti," katanya.

Lebih selektif

Beralih kepada kerjaya lakonan pula, Na'im Daniel mengakui seorang yang sangat cerewet dalam memilih naskhah.

"Ya, saya memang agak selektif dalam soal berkarya. Saya tidak mahu dicop sebagai pelakon tangkap muat dan hanya mengejar populariti semata-mata," katanya.

Malah, pelakon yang mencipta nama menerusi drama rantaian popular, Cucu Betong ini juga tidak kisah sekiranya sikapnya itu akan membuatkannya berasa terpinggir dalam industri.

"Saya akui memang ada rasa terkebelakang, tetapi itu bukan bermakna saya akan hilang terus dalam industri.

"Saya lebih selesa untuk berada dalam zon ini kerana saya lebih mementingkan kualiti. Kalau hanya mengejar populariti, itu tidak bermakna kita akan dapat kekalkannya sampai bila-bila.

"Apa yang penting ialah niat dan tahap ikhlas kita dalam melakukan sesuatu pekerjaan," katanya.

Pada masa sama, pelakon filem 29 Februari ini berpendapat, seorang anak seni perlu dilengkapi dengan ilmu di dada.

"Sebenarnya, ia tertakluk kepada pendirian masing-masing. Saya sendiri, pernah sahaja tidak hadir ke sekolah hampir tiga bulan lamanya.

"Pokok pangkalnya berbalik kepada diri sendiri seperti mana kata pepatah 'di mana ada kemahuan, di situ ada kejayaan'.

"Tapi, sebagai anak seni yang berpengetahuan, ia akan menjadikan kita sebagai anak seni yang lebih berdaya saing dan sihat," katanya yang bakal muncul dengan filem televisyen, Bisik Pada Langit di samping Ummi Nazeera, Jalil Hamid, Erwin Dawson dan Beto Qusairy.
Powered by Blogger.