F Nadzmi Adhwa seronok jadi pengacara | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Nadzmi Adhwa seronok jadi pengacara

PELUANG menjadi hos bagi program travelog, Jalan Jalan Makan Angin bersama Anas Ridzuan menjadi titik-tolak buat aktor muda, Nadzmi Adhwa untuk terus mengembangkan bakatnya sebagai selebriti serba boleh.

Menerusi program berkenaan, dua pengacara berambut kerinting itu bakal membawa penonton ke beberapa lokasi menarik di seluruh Malaysia.

Mengulas mengenai penglibatannya di dalam rancangan yang bakal bersiaran di TV3, Nadzmi memberitahu, program tersebut tidak hanya tertumpu kepada pengacaraan, sebaliknya diterapkan elemen lakonan sebagai daya penarik.  

 “Jika hanya menjadi pengacara saja, bosan juga. Lebih menarik, ia tidak hanya program travelog biasa semata-mata, tetapi juga kami melakukan pelbagai aktiviti menarik di setiap lokasi.

“Mengacarakan program ini tidaklah terlalu formal dan tidak terlalu terikat dengan skrip semata-mata. Penerbit inginkan kami menjadi pengacara yang bersahaja dan spontan,” katanya yang selesai penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Langkawi dan Pulau Pinang.

Untuk rekod, Nadzmi sebelum ini pernah menjadi pengacara program masakan iaitu Bila Bujang Masuk Dapur bersama Azrel Ismail.

Dalam perkembangan lain, Nadzmi kini sedang menantikan waktu sesuai untuk melancarkan single kedua berjudul Seharus Cinta Setia, duet bersama pendatang baru, Mya Herry.

“Single pertama Kamulah Wanita yang dilancarkan penghujung tahun lalu menerima reaksi positif daripada peminat.

"Pastinya ini merupakan percubaan kedua saya untuk sama-sama memeriahkan industri seni suara tempatan. Harapnya ia turut diterima seperti mana yang pertama dulu,” ujar pelakon Hati Perempuan ini lagi.

Tidak tamak

Melihatkan dirinya yang kini aktif sebagai pelakon, penyanyi dan pengacara dalam waktu yang sama, Nadzmi bijak membahagikan masa agar tidak berlaku masalah jadual bertindih.

"Untuk mengekalkan kualiti dan stamina, saya memang elak mengambil dua tawaran pada masa yang sama. Jadi tidaklah jadual seni jadi kucar-kacir atau kelam-kabut lalu menyusahkan warga produksi.

"Apa pun, ia bukan soal tamak atau pun suka mencari publisiti, sebaliknya saya anggap tawaran yang diterima ini sebagai satu kepercayaan," katanya.

Jelasnya, sebagai pendatang baharu, sudah tentunya dia mahu dan harus mencuba apa sahaja cabang seni yang ada.

"Saya minat berlakon, menyanyi dan terkini mengacara. Pada masa sekarang, saya tidak boleh memilih kerja.

"Sebaliknya tawaran yang diterima saya cuba lakukan dengan sebaik mungkin. Saya hanya fokus pada kerja," jelasnya.

Katanya, tidak salah untuknya mencuba mengasah bakat, selain dapat terokai dunia baru.

"Syukur dengan tawaran yang hadir dan Alhamdulillah, kini kian ramai penggiat seni yang makin sedar dengan kehadiran saya di dalam industri.

"Keluarga juga banyak sokong dan pastinya apabila orang yang kita sayang beri sokongan, kita pasti akan lakukan dengan lebih bersungguh-sungguh,” kata Nadzmi yang turut giat mempromosikan drama terbaharu lakonannya, Cinta Rollercoster terbitan Suhan Movies.

Kekal imej bersih

Mengimbas fasa permulaan karier seninya lebih tiga tahun lalu, Nadzmi bermula dengan menghadiri uji bakat terbuka untuk mencari pelakon baharu yang dilakukan Grand Brilliance Sdn Bhd.

Sejak itu, dia mahu kekal dengan imej bersih.

“Memang pada awalnya saya terlibat seni hanya untuk menambah duit poket kerana pada ketika itu saya masih belajar. Namun apabila sudah mulai ‘cinta’ dengan kerjaya ini, saya berazam untuk lebih serius.

"Kalau boleh saya mahu elak jadi sasaran cerita kontroversi," katanya.
Powered by Blogger.