F Mat Sentul Maafkan Pihak Ciplak Karyanya | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Mat Sentul Maafkan Pihak Ciplak Karyanya

Pelawak veteran Mat Sentul terkejut apabila mendapati beberapa drama yang ditayangkan di televisyen mempunyai persamaan dengan skrip yang ditulisnya sebelum ini.

Mat Sentul atau nama sebenarnya Abdul Rasip Yahya, 83, berkata, dia yakin idea tersebut adalah miliknya kerana sebelum ini beliau ada menyerahkan beberapa skrip kepada beberapa individu yang mahu menerbitkan drama.

"Sebanyak 18 skrip saya tulis yang diserahkan kepada pihak yang berjanji akan menghasilkan drama tetapi maklum balas yang saya dapat mengatakan idea ditampilkan tidak menarik.

"Tetapi saya perasan ada beberapa drama yang ditayangkan menggunakan skrip dan idea saya.

"Tidak sangka pula hasil usaha saya itu dipergunakan tanpa meminta kebenaran terlebih dahulu," katanya.

Mat Sentul ditemui ketika hadir pada majlis pelancaran Payung Padi yang diadakan di Menara Kuala Lumpur pada Selasa.

Bagaimanapun kata Mat Sentul, dia tidak dapat mengambil sebarang tindakan terhadap perbuatan itu kerana ketika menyerahkan skrip tersebut tiada sebarang perjanjian bertulis dibuat.



"Tidak mengapa saya maafkan apa yang dilakukan terhadap saya. Niat saya hendak menolong tetapi apa boleh buat jika mereka berniat buruk terhadap saya," jelasnya.

Sementara itu, Mat Sentul berkata, pada usianya sekarang dia masih menerima banyak tawaran berlakon walaupun bayaran diberikan tidak berbaloi.

Katanya, dia pernah dibayar RM300 sehari oleh pihak produksi namun dia tetap meneruskannya kerana telah berjanji lebih awal.

"Saya tidak marah kerana faham itu sahaja bajet mereka untuk artis seperti saya tetapi kebiasaannya saya akan tolak secara baik.

"Ini kerana kos berulang-alik dari Johor ke Kuala Lumpur selain tempat tinggal dan makanan selalunya melebihi dari apa yang saya terima sebagai pelakon. Ia tidak berbaloi dan lebih baik saya tolak secara baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mat Sentul berkata, dia masih berjalan kaki dari rumahnya ke bandar Larkin walaupun ada pihak pernah menyangka dia hidup merempat.

Katanya, dia tidak peduli dengan pandangan orang lain kerana apa dilakukan itu adalah sebagai hobi dan menjaga kesihatan.

"Saya dari dulu memang suka berjalan kaki dan masih melakukan perkara sama sehingga hari ini.

"Adakalanya selepas solat Subuh saya keluar rumah untuk berjalan kaki ke bandar Larkin bertemu rakan-rakan atau pun bersarapan," ujarnya.
Powered by Blogger.