F Mantapkan Bangsawan Pelayaran Panglima Awang | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Mantapkan Bangsawan Pelayaran Panglima Awang

PROGRAM Semarak Bangsawan anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diteruskan lagi dengan pementasan Bangsawan Pelayaran Panglima Awang.

Naskhah adaptasi daripada kisah legenda pahlawan Melayu yang menjadi manusia pertama mengelilingi dunia sekitar abad ke-16.

Teater ini sudah dipentaskan kepada umum selama tiga hari bermula 23 sehingga 25 September lalu di Auditorium DBKL.

Ternyata, pementasan bangsawan ini berjaya menarik perhatian ramai menerusi pelbagai babak menarik yang memaparkan bagaimana ketokohan Panglima Awang atau juga dikenali sebagai ‘Henry The Black’ yang berjaya berdepan dengan pelbagai cabaran dalam usahanya untuk mendapatkan kembali alat kebesaran yang dicuri daripada kerajaan Melaka.

Menerusi skrip garapan Dekan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, penonton dibawa untuk lebih mengenali siapa sebenarnya Panglima Awang  ini.

Dilakonkan oleh pelakon lama dan baharu, teater bangsawan ini berjaya meletakkan pementasan ini di atas standard tersendiri.

Dengan garapan skrip dan penghayatan setiap pelakon, ia berjaya menutup segala kelemahan yang kecacatan pementasan ini.

Berkisar mengenai setelah Sultan Melaka lakonan Zulkifli Ismail dan angkatannya berundur ke hulu Sungai Muar akibat tewas di tangan Tentera Feringgi pimpinan Alfonso, satu  rancangan telah dibuat oleh Panglima Awang (Mohamad Yusmar Afeendi) melibatkan Panglima Hitam (Adieyka Zainal), Tun Nyemah (Juhara Ayob) dan  Tun Gayah (Rabiatul Adawiyah) untuk menyerang balas.

Mereka juga ingin mendapatkan kembali lambang kebesaran kerajaan Kesultanan Melayu Melaka iaitu Pedang Cura Simajakini dan Keris Taming Sari yang telah dicuri oleh angkatan Tentera Feringgi.

Malangnya, rancangan tersebut menemui kegagalan. Panglima Awang dan Tun Nyemah ditawan di atas kapal yang dikemudi oleh Ferdinand Magellan.

Namun atas kebijaksanaannya, Panglima Awang telah menjadi orang kanan Magellan selepas berjaya menyelamatkan Magellan daripada dibunuh musuh-musuhnya.

Bermulalah lembaran baru dalam hidup Panglima Awang apabila dia dibawa Magellan untuk belayar bersamanya ke beberapa destinasi bermula dari Istana Melaka ke Portugal, Sepanyol, Filipina dan sebagainya.

Pelayaran demi pelayaran ditempuhi, kembara merentasi benua dunia sehinggalah kembali semua ke Alam Melayu setelah Magellan di bunuh dan lambang kebesaran kerajaan Melayu Melaka kembali ditemui.

Bukan sahaja memberi lembaran baharu kepada penggiat seni teater negara ini, malah bangsawan seperti ini seharusnya terus diangkat kerana ia dilihat sebagai medium penonton lebih mengenali sejarah dengan gaya dan cara mudah.

Biarpun dibarisi dengan nama yang popular, tetapi kesemua pelakon membuktikan medan teater adalah institusi sebenar untuk bergelar pelakon.

Mereka berjaya menterjemah setiap watak dengan begitu baik sekali.

Menariknya, teater yang dipentaskan oleh Alumni Kelab Teater Rimba, Univeristi Kebangsaan Malaysia (UKM) ini menyaksikan gabungan pelakon baru dan lama dalam merealisasikan naskhah ini.

Antaranya ialah Datuk Jalaludin Hassan, Zulkifli Ismail, Juhara Ayob, Mohamad Yusmar Afeendi, Ain Sufia, Adieyka Zainal, Filzah Azmi dan lain-lain.

Inspirasi jalan cerita

Menurut pengarahnya, Mohd Diani Kasian, naskhah ini dipilih untuk dipentaskan kerana jalan ceritanya yang banyak memberikan inspirasi. Selain itu ia juga merupakan satu usaha memberi pendedahan kepada generasi muda hari ini terhadap kisah-kisah tokoh terdahulu yang kini semakin dilupakan.

“Kalau diikutkan, kisah Panglima Awang ini pernah dikisahkan dalam pelbagai versi. Namun untuk pementasan yang pertama kali dilakukan ini, kita mengambil pendekatan untuk mengetengahkan babak-babak terbaik  dan menarik yang sesuai dipertontonkan sahaja. Adaptasi ini diolah balik mengikut kesesuaian jalan cerita yang ingin kami ketengahkan.

“Naskhah ini akan tampil dengan enam babak utama dengan sebahagian besarnya akan memaparkan aksi pelayaran dan pertempuran. Kami di pihak produksi berusaha dengan sebaiknya untuk menampilkan aksi-aksi menarik menerusi beberapa latar tempat berbeza mengikut destinasi pelayaran Panglima Awang,” katanya yang kini bergiat aktif sebagai pembimbing dan penasihat Kelab Teater Rimba Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pegawai Teater di Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penglibatan 44 pelakon

Menyentuh tentang cabaran besar yang dilaluinya dalam pementasan ini, kata Mohd Diani, selain kekangan bajet, proses latihan juga banyak memberikan cabaran buatnya.

“Untuk melaksanakan satu pementasan aksi yang menarik begini, kami sebenarnya memerlukan bajet lebih besar.

"Ini kerana ia melibatkan soal penyediaan kostum yang sesuai dengan latar masa ketika itu, set pentas yang bersesuaian dan pelbagai aspek lain. Namun kita cuba menggunakan kreativiti kita dengan sebaiknya untuk disesuaikan dengan peruntukan yang ada," katanya.

Katanya, proses latihan juga menjadi cabaran utama dalam pementasan ini.

"Kami menjalani latihan selama sebulan lebih untuk memastikan apa yang kita rancangkan ini akan berlangsung dengan baik dan sempurna.

"Namun semestinya tidak mudah untuk menguruskan latihan yang melibatkan seramai 44 pelakon. Selain pelakon utama, pelakon-pelakon tambahan diperlukan dalam bilangan yang ramai untuk babak pertempuran," katanya.

Jelasnya, setiap daripada mereka perlu memenuhi peranan yang ditetapkan dalam karakter agar perjalanan cerita yang ingin dibawakan sampai tepat kepada penonton.

"Setakat ini saya cukup berpuas hati dengan apa yang mereka berikan.

“Pemilihan pelakon memang sengaja dibuat begitu kerana saya mahu melihat adanya kerjasama antara pelakon lama dan baru dalam satu pementasan.

"Masing-masing mempunyai cara lakonan mereka yang tersendiri dan saya percaya ia akan menyuntik energi yang positif dalam kumpulan ini," ujarnya.

Jelasnya, pelakon-pelakon lama boleh berkongsi pengalaman mereka dengan pelakon generasi baru dan begitulah sebaliknya.

“Malah ia juga sebenarnya mampu menjadi tarikan kepada khalayak tidak kira peringkat umur. Apa yang penting di sini adalah mereka diberikan dengan watak atau karakter yang sesuai dengan diri dan kebolehan masing-masing.

"Misalnya pemilihan Mohamad Yusmar sebagai Panglima Awang dilihat tepat dengan kebolehan dan karisma yang ada pada dirinya itu menepati apa yang kita cari,” tambah Mohd Diani lagi.

Beri lebih pendedahan

Dalam pada itu, aktivis teater yang berpengalaman ini juga mengharapkan agar penerimaan khalayak penonton terutamanya generasi muda terhadap pementasan bangsawan ini akan lebih meluas pada masa akan datang.

“Sebenarnya masyarakat kita semenjak dari dulu lagi telah disogokkan dengan anggapan yang mengatakan pementasan bangsawan itu hanya terhad tentang cerita-cerita istana, kisah raja-raja Melayu klasik dan sebagainya sahaja.

"Sedangkan pada hakikat sebenarnya, bangsawan hari ini telah dipentaskan dalam bentuk yang pelbagai jalan ceritanya.

“Jadi di sini, saya rasa pendedahan yang betul tentang dunia pementasan bangsawan ini perlu diberikan kepada generasi muda hari ini," katanya.

Menurutnya lagi, kesedaran ini harus dipupuk seawal dari sekolah lagi agar mereka tahu apa itu bangsawan.

"Biar pengetahuan asas atau perasaan suka terhadap bangsawan itu diberi lebih awal kepada mereka,” katanya yang turut menjemput beberapa pelajar daripada negara Brunei yang berminat untuk turut sama menimba pengalaman sebagai tenaga kerja belakang tabir pementasan ini.

Salah seorang pelakonnya, Ain Sufia menyifatkan penglibatannya dalam pementasan ini sebagai sesuatu yang menarik untuknya menimba pengalaman.

Apatah lagi naskhah ini turut diterajui oleh nama-nama besar dalam dunia pementasan.

“Saya memegang watak sebagai Maria, iaitu adik kepada Kapten Magellan yang kemudiannya telah jatuh cinta dengan Panglima Awang.

"Kami berkenalan ketika Panglima Awang mengikut Magellan pulang ke Portugal untuk menemui keluarganya.

"Walaupun watak saya sebagai gadis berbangsa asing, namun dialog saya dalam bangsawan ini adalah sepenuhnya dalam bahasa Melayu yang betul.

“Cabaran utama saya membawakan watak Maria ini adalah bila diminta untuk menyanyi dalam satu babak bersama Panglima Awang.

"Saya harap dapat menyempurnakan tugasan itu dengan sebaiknya walaupun agak kekok menyanyi di pentas.

"Saya percaya latihan demi latihan yang dijalani akan membantu kami untuk melakukan yang terbaik untuk pementasan ini,” ujar Ain yang juga merupakan anggota kumpulan lawak Awok ini lagi.

Powered by Blogger.