F Lebih Dari Terindah: Inspirasi hasil lukisan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Lebih Dari Terindah: Inspirasi hasil lukisan

DEMI membawa kelainan, Hikayat Records menampilkan seniman tersohor, Yusof Ghani dalam pembikinan muzik video, Lebih Dari Terindah.

Lebih Dari Terindah merupakan single duet sulung daripada Nomad dan Dayah Bakar serta dicipta komposer terkenal, Kuncidemak.

Menceritakan pembabitannya dalam muzik video tersebut, Yusof mengakui melalui satu pengalaman baharu yang menyeronokkan.

"Lazimnya, saya lebih selesa melukis secara berseorangan di dalam studio. Tetapi, kali ini, saya melukis sambil ‘diganggu’ oleh mereka.

"Lagi pula, kali ini, saya melukis sambil mendengar dan menghayati lagu tersebut.

"Ya, ia memang agak sukar, tetapi saya anggapnya sebagai satu cabaran baru dan tidak salah jika mencubanya," katanya ketika ditemui di Tapak Galeri, Shah Alam, baru-baru ini.

Secara tidak langsung, katanya, lagu itu turut memberi inspirasi untuk melukis di kanvas sehingga terlahir karya yang diberi nama Segerak Series.

"Lagu ini berkisar kepada cinta. Setiap kata-katanya sangat istimewa. Saya rasa, kadang-kadang, kita juga perlukan muzik apatah lagi bunyi itu membawa lebih pergerakan.

"Jadi, saya cuba untuk mengapresiasi maksud cinta itu melalui seni lukisan. Lagipun, setiap lukisan ada ceritera tersendiri.

"Kerana itu, saya memilih warna biru. Lagi pula, warna memainkan peranan penting lantaran membawa simbolik kepada ‘mood’ dan perasaan," katanya.

Jelas Yusof lagi, karya istimewanya itu akan dijual kepada yang berminat dan hasil jualan akan diagihkan kepada rumah anak-anak yatim terpilih.

Pada masa sama, Hikayat Records juga sedang menganjurkan kempen media sosial menerusi aplikasi Instagram mulai 1 September hingga 30 September ini.

Kempen yang dinamakan #LDTSing2Win ini menjemput peminat Nomad dan Dayah untuk menyertai peraduan nyanyian sebagai  memberi sokongan kepada duet sulung mereka.

Caranya, peserta boleh mendengar lagu Lebih Dari Terindah di YouTube Hikayat Records. Rakam video nyanyi sebahagian lagu itu dan muat naik ke Instagram. Pada video itu, sertakan juga #LDTSing2Win, #lebihdariterindah dan #hikayatrecords.

Anda berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik daripada Hikayat Records. Paling menarik, hadiah utama berupa pakej percutian.
Powered by Blogger.