F Layar suntik pelbagai elemen muzik | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Layar suntik pelbagai elemen muzik

SETELAH bertungkus-lumus selama sembilan bulan, kumpulan baharu yang memperkenalkan diri mereka sebagai Layar tampil dengan lagu pertamanya yang berjudul #Hamba.

Diketuai Khir Rahman, Layar turut dianggotai Shamsul Cairel dan Fadzly Razman, yang bertindak sebagai pemain gitar.

Mempertaruhkan #Hamba sebagai buah tangan pertama, Layar menyuntik kelainan daripada melodi di dalam lagu tersebut.

“Lagu #Hamba mengisahkan seorang individu yang sedang kecewa akibat berlakunya perkara yang tidak menyebelahi nasibnya. Namun, dia tidak dapat mengolahkan perasaan kecewa kepada sesiapa,” kata Khir semasa sidang media pelancaran klip muzik #Hamba, baru-baru ini.

Menurutnya, lirik lagu berkenaan ditulis sepenuhnya olehnya dan mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana mencari melodi yang sesuai.

Apa yang menarik ketika pencarian melodi #Hamba, mereka berjaya mendapatkan beberapa elemen yang sesuai digarap ke dalam lagu tersebut.

“Kami berjaya mencari elemen jaz, blues dan menyelitkan sedikit elemen Arab, menjadikan lagu ini sangat menarik untuk didengari,” katanya dengan penuh semangat.

Mendengar sendiri lagu itu, banyak kelainan dan sudah pasti ia memberi tanda aras terhadap aliran muzik semasa.

Lagu ciptaan Layar ini juga mengingatkan pendengar terhadap lagu-lagu pada zaman kegemilangan Datuk M Nasir bersama Allahyarham Loloq.

Kehadiran #Hamba boleh menjadi pencetus terhadap muzik tempatan dan sudah pasti pembaharuan yang disuntik haruslah diletakkan di tempat yang sepatutnya, bukan  sekali lalu sahaja.

Ditanya apa genre yang dimainkan oleh Layar, kata Khir, kumpulannya tidak menetapkan sebarang genre sebaliknya akan terus mencipta lagu menarik untuk pendengar.

“Kekuatan kami berbanding band yang ada ketika ini adalah kelainan identiti muzik kami. Kami tidak mahu bermain muzik mengikut aliran trend.

“Sebaliknya, Layar mahu mencipta muzik yang unik tetapi boleh diterima oleh majoriti pendengar,” katanya.

Video lagu #Hamba sudahpun berada di laman YouTube dengan jumlah hampir 4,000 tontonan.
Powered by Blogger.