F Kreativiti & kesungguhan Yusof Ghani | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kreativiti & kesungguhan Yusof Ghani

BERPEGANG teguh terhadap konsep ruang, pelukis tersohor, Yusof Ghani tekad untuk ‘mempersembahkan’ dalam bentuk sebuah galeri seni.

Dinamakan sebagai Tapak, kreativiti seni dan ekspresi pelukis kelahiran Pontian, Johor ini begitu terserlah dengan himpunan karya seninya, sejak menceburi bidang berkenaan, lebih 40 tahun lalu.

"Saya bermula sebagai artis jalanan di Kuala Lumpur, sejak berusia belasan tahun.

"Bermula sebagai artis grafik, saya kemudian melibatkan diri dalam dunia seni halus. Secara tidak langsung, Tapak adalah ‘bukti’ kepada perjuangan saya dalam bidang seni," katanya kepada Sinar Harian.

Pada masa sama, pelukis berusia 66 tahun ini menyifatkan Tapak sebagai satu permulaan.

Jelasnya, Tapak boleh dipanggil sebagai langkah, tempat atau keadaan. Jadi ini adalah ‘kawasan indah’ kukuh terbina yang dimilik Yusof Ghani.

"Apabila sudah ada tapak, mudahlah untuk saya mara ke hadapan sekali gus membolehkan saya berinteraksi dengan masyarakat,” katanya.

Secara asasnya, bekas pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini didedahkan kepada dunia seni sebagai wahana untuk ekspresi diri dan bukanlah kerana mengejar dunia komersial.

Yusof diberi ruang untuk mengadakan pameran solo di Galeri Anton, Washington, usai tamat Ijazah Sarjana Seni Halus di Amerika Syarikat pada 1984.

Ketika itu, lukisannya mengekspresikan lakaran perihal situasi berlaku di Nicaragua dan El Salvador.

Sekembalinya ke tanah air, Yusof meneruskan kelangsungan bakatnya dengan menghasilkan karya kolektif bersiri seperti Tari (1984-1993), Topeng (1993-1996), Wayang (1996-1998), Hijau (1999-2002), Segerak (2002-2006), Biring (2006-2007), Wajah (2008-2010) dan Ombak (2010-2014).

Pada masa sama, bapa empat anak ini juga aktif menyertai pelbagai pameran sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa secara solo atau berkumpulan seperti di Singapura, Jakarta, Vancouver, San Francisco, London, Madrid, Prague, Moscow, Baghdad, Abu Dhabi, Dubai, Karachi, India, Bangkok, Hanoi, Beijing, Seoul dan Tokyo.

Lebih membanggakan, Yusof menghasilkan buku dokumentasi lukisan iaitu Ombak: Breath of Life yang diterbitkan oleh Muzium dan Galeri Bank Negara.

"Buku ini simbolik inspirasi kehidupan manusia seperti ombak yang ada turun naiknya," katanya.

Budaya universal

Semakin meniti puncak kejayaan, Yusof rupa-rupanya mempunyai cara tersendiri mendokumentasi imejnya terhadap pencinta seni.

"Saya leka apabila berjalan-jalan dan melawat galeri seni dan studio. Di sini, wujudnya pameran daripada pelbagai artis.

"Secara tidak langsung, ia menjadi satu tempat alternatif atau tempat kedua dalam melaksanakan sesuatu pameran," katanya.

Jika melihat sendiri keseluruhan dekorasi Tapak, lelaki yang penuh falsafah ini mengakui pembinaannya bernilai tinggi.

Katanya, Tapak menghimpunkan karya seni bertaraf antarabangsa selain sebagai medan dalam memasyarakatkan lukisan.

"Saya sangat pentingkan soal ketelitian dan reka bentuk. Terdapat lebih 100 lukisan dalam galeri ini. Bahkan, hampir 80 peratus lukisan adalah milik pelukis lain," katanya.

Bukan itu sahaja, Yusof mengungkapkan seni sebagai budaya universal membawa bahasa sejagat serta tidak mengenal perbezaan di antara manusia.

"Sebab itulah, kita perlu ketengahkannya. Jadi, cara terbaik melalui pameran. Saya fikir, kita perlu lebih aktif membuat pameran.

"Secara tidak langsung, pameran boleh dijadikan salah satu konsep pendidikan sehingga timbul kesedaran budaya sejagat.

"Pameran pula bukanlah hanya tentang lukisan sebaliknya ia sebagai perantara yang mampu menyumbang usaha merapatkan hubungan negara-negara luar," katanya.

Yusof berpendapat dunia seni tanah air menunjukkan kemajuannya dan tahap perkembangannya memberangsangkan.

"Alhamdulillah. Kini, ramai mula menghargai karya seni bahkan ada yang sanggup membayar pada harga tinggi dan ini adalah satu petanda yang baik," katanya.

Yusof optimis akan kewujudan pelbagai institusi seni pada masa akan datang.

"Saya sendiri berminat untuk ke arah itu. Saya bercadang membuka kelas seni kepada semua golongan berminat, selewat-lewatnya awal tahun depan," katanya.
Powered by Blogger.