F Konsert 3 suara ubat rindu peminat Ameng | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Konsert 3 suara ubat rindu peminat Ameng

HAMPIR 10 tahun menyepi, akhirnya vokalis kumpulan Spring, Ameng muncul bagaikan mengubat rindu peminatnya di pentas berprestij, Istana Budaya.

Tuan punya badan sendiri akui tidak sangka dapat berdiri di pentas itu demi menghiburkan peminat-peminat yang masih setia menantinya selepas pelbagai liku dalam kehidupannya sepanjang tempoh itu.

Bermula malam tadi, buat julung kalinya Ameng bakal bergandingan dengan Datuk Jamal Abdillah dan Zamani Slam dalam Konsert 3 Suara sehingga Ahad nanti dengan lagu-lagu berhantu mereka.

Sebut sahaja Bourgenvilla, Sepi Tanpa Cinta, Sampai Hati, Romantis, Kekasih Awal dan Akhir, Kau Lupa Pada Janji, Azura, Gadis Melayu, Maria Mariana, Syair Si Pari Pari, Jika Kau Rasa Getarnya, Tak Mungkin Berpaling, Isabella serta Aku Penghibur pastinya kenangan lama terus menerjah ingatan.



Malah banyak lagi lagu lain yang telah disediakan untuk halwa telinga penonton sepanjang persembahan selama lebih dua jam itu.

Konsert kali ini turut menampilkan penyanyi era 80-an, Jamilul Hayat yang juga adik kepada Jamal membawakan lagu-lagu popularnya seperti Mawar Putih Tanda Perpisahan dan Gelora Cintaku khas untuk penonton selepas lebih 16 tahun berehat dari dunia seni.

Tawaran Dari Penjara

Berkongsi perasaannya dengan Sinar Online, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail melihat tawaran yang diterimanya itu setahun lalu ketika masih di penjara sebagai rezeki daripada ALLAH SWT.

“Saya berehat lebih kurang 10 tahun. Empat tahun sebelum itu saya hanya menyanyi di kelab sebab kurang tawaran persembahan dan kemudian enam tahun dalam penjara.

“Tapi sebenarnya, masuk penjara ini, saya nampak ada rahmatnya. Selepas keluar, nama saya naik balik, orang ingat balik. Ada yang rindu, ada yang kesian. Sebelum itu memang sejuk.

“Tawaran Konsert 3 Suara ini datang semasa saya dalam penjara lagi, kira-kira setahun yang lalu. Saya lihat ini sebagai rezeki dari ALLAH untuk saya dan keluarga,” katanya.

Sebelum ini, Jamal sebagai penganjur konsert itu menemui Ameng di penjara mengemukakan tawaran itu namun ketika itu Ameng akui tidak menaruh harapan tinggi kerana masih menjalani hukuman.

Tidak melupakan orang yang memberinya peluang, Ameng tidak putus-putus berterima kasih kepada Jamal malah dia sering mengulang ucapan itu ketika membuat persembahan.

“Saya sangat teruja nak tampil di pentas IB sebab Konsert 3 Suara ini tentukan mana hala tuju saya seterusnya. Saya memang terima kasih banyak-banyak kepada Datuk Jamal kerana percaya kepada saya, beri peluang kepada saya bersama dalam satu persembahan berprestij. Secara tak langsung beri ruang kepada saya untuk mencari tapak kembali,” katanya.

Rupanya Ameng kelakar

Pastinya, Konsert 3 Suara ini peluang terbaik peminat-peminat untuk menonton gabungan tiga suara emas di satu pentas yang sama selain dapat menyaksikan sendiri penampilan baharu Ameng yang mampu menggeletek hati seluruh Panggung Sari dengan jenakanya yang bersahaja.



Ketika penulis menyaksikan sepanjang kemunculan Ameng di pentas, penonton pastinya tidak lekang dengan gelak tawa malah dia tidak melepaskan peluang mengenakan Jamal setiap kali mereka muncul bersama.

Malah ketika ditanya lanjut, Ameng sempat bergurau, ‘saya baru sahaja jadi kelakar. Saya pun tak pasti macam mana saya boleh jadi kelakar.”

Katanya, lawak-lawak bersahajanya sepanjang persembahan tidak dirancang dan hanya salah satu caranya untuk bergurau terutama dengan Jamal yang terkenal dengan watak serius.

Sepanjang konsert semasa memulakan dan mengakhiri setiap persembahannya, Ameng tidak pernah lupa walau sekali untuk tunduk yang benar-benar tunduk - yang begitu rendah kepada penonton mungkin tanda bersyukur atas penerimaan terhadap irinya.

Kini, Ameng mempunyai cabang baharu dalam kariernya selain sebagai penyanyi apabila berpeluang menjadi penceramah motivasi dan menerima tawaran dari seluruh negara.

Ameng dibebaskan dari Penjara Kluang selepas menjalani hukuman kira-kira lima tahun empat bulan atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Sebelum ini, Ameng dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 atas tiga kesalahan termasuk dua kes memiliki dadah namun hukuman itu dipendekkan berikutan kelakuan dan disiplin cemerlang yang ditunjukkannya.
Powered by Blogger.