F Kisah jangan tinggal solat dari penjual gado-gado | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kisah jangan tinggal solat dari penjual gado-gado

 Lelaki ini mengaku ‘ditampar’ dua kali oleh seorang wanita, si penjual gado-gado di tepi jalan dekat Beji, Depok di Jawa Barat, Indonesia.

Wanita itu yang dikenali sebagai Ibu Ijah atau nama sebenarnya Siti Khodijah sering meninggalkan ‘gerobaknya’ iaitu kereta tolak jualannya, begitu sahaja untuk menunaikan solat.

“Untuk kedua kalinya saya terpaksa menunggu di sisi gerobaknya. Penjual buah rambutan di sebelah memberitahu Ibu Ijah pergi solat Zohor.

“Selepas 15 minit baru dia muncul dan dia akan minta maaf kepada pelanggan yang menunggu,” cerita Gaw Bayu Gawtama melalui portal Islampos.

Menurut Bayu, dia bertanya kepada Ibu Ijah meskipun sebenarnya sudah tahu ke mana wanita itu menghilangkan diri seketika.

“Saya tanya, ‘pergi solat bu?’. Kemudian dia jawab, ‘ya, mas (panggilan untuk lelaki di Indonesia). Kaya pun tak, solat pun tak, rugilah saya’. Jawapan dia memang terasa bagai satu tamparan untuk saya.

“Saya tanya lagi, ‘tak takut hilang pelanggan?’. Dia jawab, ‘memanglah, tiap kali saya pergi solat, akan ada enam atau tujuh pelanggan yang datang. Tapi kalau rezeki saya, mereka akan datang semula. Kalau tak datang balik itu maksudnya bukan rezeki sayalah.’ Jawapan ini tamparan kedua buat saya,” ceritanya.

Bayu merasakan jawapan kedua itu lebih pedas daripada gado-gado yang dibuat wanita itu.

“Jelas keyakinan dia dalam soal rezeki itu jauh lebih tinggi berbanding keyakinan saya yang masih ragu-ragu ini,” katanya.

Bayu mengakhiri perkongsiannya dengan satu persoalan yang perlu difikirkan bersama.

“Sekaya apa dirimu sampai sanggup meninggalkan solat?,” tanyanya.
Powered by Blogger.