F Kemeriahan Jajahan Gegar | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kemeriahan Jajahan Gegar

PROGRAM Jajahan Gegar anjuran stesen radio tempatan milik Astro, THR Gegar berlangsung sederhana tetapi meriah di beberapa buah lokasi di Kelantan, selama tiga hari, minggu lalu.

Walaupun hujan, peminat tidak mempedulikan hal tersebut kerana ingin berjumpa dengan dua penyampai radio dalam segmen Ceria Pagi, Shah Muhammad dan Mek Zura.

Kehadiran kedua-dua penyampai ini sangat menggembirakan masyarakat setempat yang hadir melihat wajah mereka dari dekat.

Di samping mendengar celoteh daripada Shah dan Zura, peminat turut berpeluang bertemu penyanyi yang terkenal dengan lagu Rindukanlah, Encik Mimpi.

Pengunjung tidak berhenti ketawa mendengar celoteh daripada ketiga-tiga selebriti ini lebih-lebih lagi daripada Shah. Selain itu, Shah dan Encik Mimpi seringkali meminta pengunjung untuk mengajar mereka beberapa perkataan dalam dialek Kelantan.

Terdapat beberapa permainan yang disediakan bagi membolehkan pengunjung memenangi baju T eksklusif Jajahan Gegar.

Beberapa persembahan nyanyian turut diadakan oleh Encik Mimpi yang berganding bahu bersama Shah. Kumpulan busking, CP Buske mempersembahkan beberapa buah lagu seperti Hang Pi Mana, Seragam Hitam, Ku Rela Dibenci dan lain-lain lagi.

Saat paling mencuit hati berlaku apabila seekor lalat masuk ke dalam mulut Encik Mimpi semasa dia baru sahaja mahu menyanyi di satu lokasi di Pasir Pekan membuatkan pengunjung ketawa melihat insiden berkenaan.

Beberapa pengunjung yang ditemui meluahkan rasa gembira kerana dapat berjumpa dengan penyampai radio dan penyanyi yang diminati.

Salah seorang pengunjung, Siti Suhaida Pauzi, 39, mengakui sangat gembira kerana akhirnya dapat berjumpa dengan Shah dan Zura memandangkan dia sentiasa mendengar segmen Ceria Pagi pada setiap hari.

“Saya sudah mendengar segmen Ceria Pagi selama lima tahun. Saya sangat meminati kedua-dua penyampai kerana mereka pandai membuat lawak dalam loghat Kelantan,” katanya yang hadir bersama lima anaknya.

Seorang lagi pengunjung, Nurul Husna Mohammad Razuky, 18, berkata, dia datang ke Jajahan Gegar semata-mata untuk berjumpa Encik Mimpi.

“Saya suka dengar lagu Encik Mimpi kerana kebanyakan lagunya sedap didengari,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kandungan THR Gegar, Khidirah Naimah Mohd Zain berkata, ini adalah Jajahan Gegar kedua selepas melakukan siri jelajah yang pertama di Terengganu pada dua minggu lalu.

Menurutnya, setakat ini, sambutan masyarakat terhadap kedua-dua jelajah tersebut sangat menggalakkan apabila setiap lokasi yang dikunjungi oleh THR dipenuhi oleh pengunjung.

“Pengunjung juga sangat ‘sporting’ apabila mereka turut serta dalam apa-apa permainan yang kita anjurkan dan perkara ini sangat bagus.

“Dengan penganjuran Jajahan Gegar ini dapat menjalinkan ukhuwah di antara masyarakat dengan kru produksi THR Gegar dan saya harap perhubungan ini dapat dieratkan lagi pada masa yang akan datang,” katanya.
Powered by Blogger.