F Keluarga pelajar Malaysia hilang buat solat hajat | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Keluarga pelajar Malaysia hilang buat solat hajat




Keluarga pelajar Malaysia yang hilang di Paris sejak Jumaat lalu mengadakan solat hajat malam ini bagi memohon agar Norsakinah Naim, 19, dapat ditemui dengan selamat.

Bapanya, Naim Awang, 46, berkata, rumah mereka di Tikam Batu, Sungai Petani mula dikunjungi sahabat handai, saudara-mara serta rakan-rakan Norsakinah yang mula datang sejak semalam bagi mengetahui perkembangan terbaru berhubung kehilangan anaknya itu.

Beliau berkata, anaknya hanya disedari hilang oleh rakan sebiliknya yang berasal dari Sabah apabila telefon bimbitnya dijumpai di bilik sewa kediaman mereka.

"Rakannya kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada Kedutaan Malaysia di Paris dua hari selepas itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Naim berkata beliau mendapat tahu mengenai perkara tersebut apabila dihubungi Kedutaan Malaysia di Paris semalam yang memaklumkan anaknya tidak pulang ke rumah sejak beberapa hari lalu.  

Pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu mengikuti pengajian Kejuruteraan Kimia di Institute University of Technology (IUT) Roanne di Paris, sejak tahun lalu.

Jelasnya, kali terakhir Norsakinah menghubungi mereka adalah pada 23 September dan beliau tidak menunjukkan tanda-tanda pelik ketika berbual dengan ibunya.

"Malah kedengaran suaranya sangat ceria dan tidak menunjukkan yang dia ada masalah. Dia anak yang sangat baik dan pintar dalam pelajaran,"  katanya.

Anak kedua daripada enam beradik itu yang merupakan lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan Pekula, Tikam Batu memperoleh 10A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2014.
Powered by Blogger.