F Kehidupan Cina di Brunei | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kehidupan Cina di Brunei

BRUNEI Darussalam adalah negara pertama melaksanakan hukum hudud di rantau Asia Tenggara. Ia mula berkuat kuasa pada 1 Mei 2014 secara berperingkat.

Pengumuman Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada awal 2014 itu mendapat sokongan penuh daripada penduduk Islam. Sungguhpun mendapat kritikan daripada Pertubuhan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, kerajaan Brunei tetap tegas dengan pendirian untuk melaksanakan hukum Islam itu yang turut dikuatkuasakan ke atas rakyat bukan Islam.

Hampir 70 peratus daripada 420,000 rakyat negara itu adalah penduduk Islam manakala kira-kira 11 peratus adalah bukan Islam.

Wartawan Sin Chew Jit Poh yang melakukan tinjauan ke negara pengeluar minyak itu, khasnya mengenai kesan hukum hudud terhadap kehidupan masyarakat Cina di sana.

Wartawan akhbar ini melaporkan, sewaktu Ramadan, rakyat bukan Islam (termasuk pelancong asing) dikatakan turut dikenakan tindakan jika makan, minum mahupun merokok di kawasan khalayak ramai. Setiap pesalah akan dikenakan hukuman denda tidak lebih 4,000 dollar Brunei, penjara tidak melebihi setahun ataupun kedua-duanya.

Menurut seorang pengusaha restoran Cina, Ramadan jelas menjejaskan perniagaannya setelah hukum hudud dilaksanakan dua tahun lalu.

"Pada Ramadan tahun ini, perniagaan saya merosot sehingga 80 peratus, lebih teruk berbanding tahun lalu. Ini adalah kerana kemungkinan pada tahun lalu, terdapat ramai pelancong yang datang melancong ke Brunei disebabkan mereka tidak sedar hukum hudud telah pun dilaksanakan di sini," kata pengusaha restoran ini.

Katanya, sepanjang bulan puasa, semua pelanggan sama ada Islam atau bukan Islam tidak dibenarkan makan pada waktu siang, tetapi cuma boleh membeli secara bungkus sahaja.

"Ramai orang telah didenda. Sesiapa sahaja boleh ambil gambar dan mengadu jika didapati ada orang makan atau minum di dalam restoran," katanya.

Selain tidak dibenarkan jual makanan dan minuman di bulan puasa, satu lagi undang-undang Islam yang dikuat kuasakan terhadap semua pekedai ialah tidak dibenarkan menjalankan perniagaan pada waktu solat Jumaat.

Kerajaan Brunei telah pun menetapkan setiap Jumaat, semua pejabat kerajaan, swasta, restoran dan gedung perniagaan diwajibkan rehat dari jam 12 tengah hari hingga 2 petang, bagi memudahkan umat Islam menunaikan solat Jumaat di masjid.

Akhbar ini berpendapat, ini jelas menyukarkan di kalangan bukan Islam untuk menjamu selera di restoran pada waktu berkenaan.

Apa yang dilihat oleh wartawan ini ialah pada jam 11 pagi setiap Jumaat, ramai orang telah mula berkunjung ke kedai makan untuk membungkus makanan tengah hari mereka.

Dan tepat jam 12 tengah hari, semua kedai dan pejabat mula menutup pintu, manakala aliran kenderaan di jalan raya mulai berkurangan sehinggalah jam 1 petang, kelihatan tidak ramai orang berada di jalan-jalan utama di Bandar Seri Begawan.

Bagi rakyat bukan Islam di Brunei, mereka perlu berpakaian sopan ketika berada di kawasan khalayak ramai. Selain itu, mereka tidak dibenarkan minum minuman keras secara terbuka. Sesiapa yang melanggar undang-undang ini akan dikenakan hukuman yang setimpal.

Sejak pelaksanaan hukum hudud, memang tidak dinafikan ia membawa kesan yang ketara terhadap rakyat bukan Islam di Brunei. Sebagai contoh, kerajaan Brunei secara rasmi melarang perayaan Hari Natal diraikan di tempat awam termasuk juga melarang mengucapkan 'Selamat Hari Natal' dan mengenakan pakaian Santa Claus oleh kalangan Muslim.

Bagi penganut Kristian, mereka tidak dibenarkan menyambut perayaan itu secara terbuka.

Begitu juga dengan Tahun Baharu Cina, turut menerima sekatan yang terbaru apabila mulai tahun ini, semua persembahan tarian singa hanya dibenarkan diadakan selama tiga hari, iaitu tiga hari pertama perayaan. Manakala persembahan hanya dibenarkan diadakan di tiga lokasi sahaja, iaitu di tokong, sekolah dan rumah milik ahli persatuan Cina.

Dari segi pendidikan di sekolah, sejak 1984, Brunei memperkenalkan  pendidikan dwibahasa bagi menjamin pelajar berkebolehan dalam menguasai kedua-dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Sekolah-sekolah Cina (sekolah rendah dan sekolah menengah) turut diwujudkan. Bagaimana pun, selain mengikuti kelas Mandarin, murid-murid sekolah rendah dan menengah Cina turut diwajibkan belajar tulis jawi.

Difahamkan, pelajaran tulisan jawi baru dikuatkuasakan di sekolah-sekolah Cina beberapa tahun lalu.
Powered by Blogger.