F Johari balas kenyataan Kadir Jasin | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Johari balas kenyataan Kadir Jasin

“Kenyataan yang jadi viral itu adalah petikan jawapan saya kepada persoalan seorang kenalan yang juga pelabur dari Singapura,” jelas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berhubung teguran Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin mengenai kenyataannya sebelum ini.

Sebelum ini Kadir dalam kolum mingguan di Sinar Harian memberi peringatan kepada Johari supaya lebih telus dan berterus terang dalam hal-hal ekonomi negara berikutan kenyataannya bahawa Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia adalah antara yang terbaik di Asean sedangkan ekonomi global dalam keadaan lembab.

Johari berkata, sebagai Menteri Kewangan Kedua timbul rasa tanggungjawab untuk jelaskan kemusykilan pelabur tersebut yang ingin mendapatkan kepastian sama ada Malaysia bakal muflis dalam tempoh enam bulan.

“Jika saya tidak menjawab, saya bimbang pelabur ini akan anggap fakta yang diterima itu benar dan negara akan terlepas peluang pelabur asing yang akhirnya akan jejaskan pelaburan di negara ini.

“Mengenai penjelasan tersebut, memang saya sengaja membuat perbandingan negara ini dengan Singapura untuk memudahkan pemahaman pelabur tersebut,” katanya.

Menurutnya, semua penjelasan berlandaskan fakta laporan rasmi ekonomi negara dan Bank Negara Malaysia.

“Fakta-fakta ini diguna pakai oleh pelabur luar negara serta agensi penarafan antarabangsa. Jadi adakah salah saya turut gunakannya?” ujarnya.

Katanya, Singapura dipilih untuk perbandingan dengan Malaysia kerana KDNK per kapita negara ini jauh lebih tinggi berbanding Filipina, Vietnam dan Indonesia.

“Malaysia mempunyai KDNK sebanyak AS$9,700 per kapita berbanding jumlah KDNK Filipina iaitu AS$2,900 per kapita, Indonesia AS$3,300 per kapita, manakala Vietnam AS$2,100 per kapita.

“Ia juga bersesuaian dengan hujah beliau (Kadir) bahawa lagi maju sesebuah ekonomi, lebih sukar untuk menjana kadar pertumbuhan yang tinggi. Maka dalam konteks ini, tidak salah kalau saya menggunakan Singapura sebagai perbandingan,” katanya.

Johari, yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, turut menafikan kenyataan Kadir yang menganggap tidak menjadi masalah kepada negara maju memiliki hutang yang banyak kerana mereka mampu menyelesaikannya.

“Kenyataan itu tidak tepat kerana ada negara maju yang kadar keberhutangannya tinggi dan akhirnya tidak mampu kekalkan pembiayaan hutang hingga menyebabkan perkembangan negara terbantut.

“Sebagai contoh, Itali, Sepanyol dan Ireland, negara maju yang punyai penarafan ekonomi tinggi tetapi alami pertumbuhan ekonomi terbantut sejak 2009 disebabkan kadar keberhutangan tinggi,” jelasnya.
Powered by Blogger.