F Jarang Kongsi Gambar Berdua Kerana Suami Pemalu | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Jarang Kongsi Gambar Berdua Kerana Suami Pemalu

Penyanyi Marsha Milan Londoh, 30, menjelaskan sebab dia kurang berkongsi gambarnya bersama suaminya, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail, di laman sosial kerana suaminya seorang yang pemalu dan kurang suka bergambar.

Menurut Marsha, ketika mereka meluangkan masa bersama, sesekali dia cuba memujuk suaminya itu berselfie namun permintaanya ditolak.

"Tidak, saya bukan sorok suami. Tapi dia memang seorang yang pemalu dan tidak suka sangat bergambar.

"Sebab itu, jarang saya dapat berkongsi di laman sosial gambar kami berdua. Katanya, dia segan," tuturnya ketika ditemui pada sidang media program berkonsep food-travelouge, Taste Selebriti, kelmarin.

Marsha dan Shaiful yang merupakan seorang ahli perniagaan bernikah pada 31 Disember tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di kediaman pengantin lelaki di Georgetown, Pulau Pinang.

Berkongsi tentang kehidupannya semenjak berkahwin, Marsha berkata disamping masih belajar dan menyesuaikan diri dengan tanggungjawab menguruskan keluarga, dia kini mempunyai minat baharu iaitu suka memasak di rumah.

"Kebelakangan ini saya ada cinta baru iaitu suka memasak. Tambahan suami pula, dia suka makan orangnya dan tidak terlau cerewet. Cuma saya belum mahir lagi memasak masakan orang Pulau Pinang. Saya masih cuba-cuba belajar lagi.

"Kebetulan apabila terlibat dalam program Taste-Selebriti ini, saya berpeluang menerokai dan belajar tentang juadah dan masakan terutama menu-menu tradisional dari kampung saya sendiri.

Walaupun saya berasal daripada Tamparulli, Sabah, tetapi sejujurnya banyak makanan tradisional negeri saya yang enak-enak yang belum pernah saya cuba. Jadi alang-alang sudang berkesempatan pulang ke kampung, saya akan kongsikan nanti kepada penonton, makanan juga tempat makan kegemaran saya," tuturnya dengan nada teruja.

Bertanya mengenai perancangan menyambut hari raya Aidil Adha yang bakal menjelang beberapa hari lagi, Marsha bagaimanapun berkata, raya kali ini dia tidak meraikan bersama suami kerana dia pulang ke Sabah.

"Saya balik ke kampung saya kerana ada majlis kenduri keluarga. Tetapi suami tidak dapat ikut, jadi dia pulang ke Pulau Pinang,"katanya.

Mengenai perkembangan kerjaya pula, katanya dia memilih menumpukan pada bidang nyanyian dan pengacaraan. Sementelah dia kini sudah mengurangkan aktiviti lakonan kerana tidak mahu terikat dengan komitmen di lokasi penggambaran terutama jika penggambaran yang memakan masa lama dan memerlukan dia bekerja luar dari Kuala Lumpur.

"Dari segi lakonan, sekarang saya lebih bersikap memilih dari segi skrip, watak dan juga jalan cerita satu-satu filem atau drama.

"Sebenarnya semenjak berkahwin memang saya perlahankan kerjaya lakonan sebaliknya mahu fokus pada nyanyian. Suami saya tidak menghalang saya berlakon malah dia seorang yang supportive. Cuma saya yang tidak mahulah tinggalkan dia lama-lama.

"Lagipun, berlakon selalunya memerlukan kita berada seharian di set penggambaran dan proses penggambaran pula memakan masa lama lebih-lebih lagi jika drama episod. Kadang-kadang lokasi penggambaran pula melibatkan tempat di luar Kuala Lumpur,"tuturnya.

Marsha kini dalam perancangan merakamkan single terbaharu ciptaan komposer dan penulis lirik, Omar K. Lagu tersebut dijangka akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Disamping, dia baru selesai menjalani rakaman program terbaharu, Sukan Tak Sentral yang akan ditayangkan di TV9 tidak lama lagi.

Powered by Blogger.