F Intan Sarafina Yakin Dapat Ruang Kembali Menyanyi | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Intan Sarafina Yakin Dapat Ruang Kembali Menyanyi

 Penyanyi Intan Sarafina yakin masih ada ruang untuknya kembali mencipta nama walaupun sudah lapan tahun menyepi daripada bidang seni.

Intan atau Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya, 35, berkata, melihat kepada kejayaan penyanyi Siti Nordiana dan Haiza kembali diterima baik peminat membuatkan dia optimis terhadap keputusannya itu.

"Saya tidak melihat persaingan daripada artis-artis baharu sebagai halangan kerana ia berbalik kepada rezeki masing-masing.

"Malah kalau dilihat landskap industri sekarang peminat juga semakin menerima kemunculan semula penyanyi yang lama mendiamkan diri.

"Saya kagum dan menjadikan Siti Nordiana dan Haiza sebagai pemangkin semangat kerana mereka ini juga membuatkan saya bersemangat untuk kembali aktif," katanya.

Intan yang terkenal dengan lagu seperti Kembali dan Duhai Malam pada awal tahun 2000 berkahwin dengan Iskandar Ezzahuddin Ahmad Zulkiflee, 40, pada Oktober 2008.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Evan Raez, 7, Megat Ifrafel Raez, 5, dan Megat Noah Raez berusia dua tahun.

Dalam pada itu, Intan berkata, kehilangannya secara tiba-tiba selepas berkahwin bukan kerana desakan sesiapa sebaliknya kerelaan sendiri demi memberi tumpuan kepada rumah tangga.

Malah suaminya juga tidak pernah menghalang dia meneruskan karier sebagai penyanyi sebaliknya sentiasa menyokong jika dia ingin kembali aktif menyanyi.

"Selepas berkahwin memang saya ingin tumpu kepada rumah tangga buat seketika tambahan pula saya tidak pernah berehat sebagai penyanyi.

"Tidak sangka pula kami diberikan rezeki anak awal dan tahu-tahu lapan tahun berlalu dan kini mempunyai tiga orang anak," katanya.

Tambah Intan, dia tidak pernah berasa menyesal menghilangkan diri sepanjang tempoh itu kerana dia berasa puas dapat melihat tiga anak-anaknya membesar depan mata.
"Sejak tidak lagi menyanyi saya tidak pernah buat kerja lain selain bergelar suri rumah tangga dan Alhamdulillah rezeki saya dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada suami dan anak-anak.

"Bagaimanapun kadang-kala terbit juga rasa rindu hendak menyanyi kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada diri saya," ujarnya.

Sementara itu, Intan berkata, dia kini sedang dalam proses menyiapkan single terbaharunya ciptaan Tam Spider berjudul Aku Rindu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Powered by Blogger.