F Gaji dipotong lebih RM1,000 | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Gaji dipotong lebih RM1,000

 Seorang ibu tunggal anak tujuh di Felda Jengka 11 di sini, menuntut penjelasan Felda berhubung pemotongan gajinya berjumlah RM1,135.03 yang disifatkannya keterlaluan.

Azizan Abdul Aziz, 54, berkata, sebelum ini, dia terkejut apabila mendapati potongan gaji pada Ogos lalu melebihi RM1,000, menyebabkan dia hanya menerima gaji sebanyak RM1,200.

“Makcik terkejut sebab potong banyak sangat. Makcik pergi pejabat mereka kata itu potongan kos operasi. Kos operasi itu apa? adakah upah kait buah, lori atau baja? Kalau betul semua itu kenapa tak tulis kos tu dalam penyata gaji. Tulis kos operasi saja. Bulan lain pun ada potongan kos operasi tapi jumlahnya tak sama.

“Makcik keliru sebab makcik tak tahu berapa sebenarnya kos operasi yang makcik kena bayar setiap bulan. Dan berapa banyak lagi kena bayar akan datang? Sudahlah hasil buah sedikit. Kena potong banyak pula. Makcik minta tolong bagi tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya ketika ditemui di pekarangan Wisma Peneroka, di sini semalam.

Menurutnya, walaupun dia memperoleh bantuan bulanan sebanyak RM250 daripada pusat zakat, wang itu tidak memadai untuk menyara keperluan tiga daripada tujuh anaknya yang mempunyai masalah kesihatan.

Azizan berkata, anaknya, Abdul Aliyul Azim, 25, menghidap sakit mental dan perlu berulang alik ke Hospital Temerloh untuk mendapatkan rawatan sementara Mohd Azhar Zainol, 20-an, pula menghidapi sakit jantung berlubang .

Katanya, seorang lagi anaknya, Mohd Azman Zainor, 20-an, mengalami masalah pergerakan terbatas kerana patah tulang rusuk akibat kemalangan.

Dia terpaksa berkunjung ke pejabat Khidmat Dun Masyarakat Wilayah Jengka bagi mengisi borang permohonan bantuan untuk meringankan bebannya.

Sementara itu, seorang lagi peneroka Felda Jengka 11 di bawah pengurusan Felda Technoplant Sdn Bhd yang enggan dikenali berkata, gajinya dipotong sehingga tinggal kosong.

“Gaji pakcik bulan Ogos RM317. Potong hutang pinjaman rumah, habis. Pakcik pergi bank setiap hari nak cucuk duit gaji. tapi tak ada. Apabila anak dapatkan slip penyata gaji, barulah pakcik tahu rupanya hasil buah sawit tanah pakcik bulan itu hanya RM317, tak sampai satu tan hasil.

“Bayangkan perasaan pakcik masa itu. Keadaan macam dah kembali ke masa 30 tahun dulu. Masa mula-mula masuk Felda. Tolak potongan kantin dan pinjaman gaji cuma seringgit. Itu nasib baik dulu boleh hutang barang di kantin, sekarang? Harap anak-anak sajalah,” katanya.

Sementara itu, wakil Felda Technoplant Sdn Bhd ketika ditemui berkata, masalah gaji tinggal sedikit dalam kalangan peneroka di bawah pengurusan Technoplant adalah disebabkan masalah curi buah yang kian berleluasa pada masa ini.

“Apabila hasil sedikit, gaji tentu sedikit. Kemudian dipotong pula nilai pinjaman. Kami akan pantau di masa akan datang. Peneroka juga perlu ambil inisiatif menjaga ladang masing-masing elak kecurian," katanya.
Powered by Blogger.