F Fasha Sandha idam watak 'superwoman' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Fasha Sandha idam watak 'superwoman'

TEMPOH lebih 15 tahun di dalam gelanggang lakonan tempatan barangkali sudah cukup memberi ruang yang selesa buat Fasha Sandha, 32, dalam skala seni hiburan tempatan.

Ternyata, usaha dan kerja kerasnya dalam membina nama kian berbaloi apabila drama terbaru lakonannya, Lara Aishah yang ditayangkan menerusi saluran Astro Prima dan Maya HD mendapat sambutan yang di luar jangkaan.

Ditanya mengenai sambutan baik yang diterima di kalangan penonton itu, Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan melahirkan rasa gembira dan terima kasih buat penonton yang tidak jemu-jemu mengikuti perkembangan filem dan drama lakonannya.

Menerusi drama tersebut, aktres ini memegang watak sebagai Aishah dan antara pelakon lain yang turut sama terlibat ialah Nazim Othman (memegang watak sebagai Iskandar) Shah Jaszle (Zack), Afzan A. Rahman (Azlan), Dayana Roza (Wani) dan ramai lagi.

“Alhamdulillah, drama tersebut merupakan permulaan buat saya secara peribadi untuk melakonkan watak yang lebih berat dan berlainan daripada sebelum ini.

"Syukur, drama tersebut mendapat sokongan di kalangan penonton dan ia jadi trending hampir setiap hari di media sosial.

“Khabarnya juga rating yang diterima pun tinggi. Sudah tentunya saya rasa seronok dan bangga. Tentunya, ia merupakan satu pencapaian buat saya apabila drama yang dilakonkan mendapat sambutan yang memberangsangkan. Terima kasih kepada  semua yang menyokong,” katanya.

Seiring dengan kebolehan dan kepercayaan produser terhadap kualiti lakonannya juga, ibu tunggal ini turut menyuarakan hasrat mengidamkan watak yang lebih terkesan dan mendalam bagi mencabar kebolehan diri selepas ini. Katanya lagi, jika diberi peluang dia mahu saja melakonkan watak seorang superwoman!

“Watak idaman, kalau boleh saya mahu beraksi sebagai superwoman. Maksud saya peranan yang lebih ekstrem daripada watak yang pernah saya bawa sebelum ini, Insya-ALLAH,” ujar Fasha yang kekal sibuk di lokasi penggambaran Lara Aishah sehingga penghujung November hadapan.

Fokus satu bisnes

Berkongsi perihal bisnes salon rambutnya yang sudah pun enam tahun beroperasi, Fasha nyata optimis terhadap apa yang dilakukannya sekarang.

Pun begitu, aktres versatil ini mengakui tidak mahu terburu-buru membuka perniagaan lain misalnya produksi sendiri bagi mengelakkan dirinya kelam-kabut di kemudian hari.

“Soal bisnes, Alhamdulillah saya seronok dalam mengusahakan salon rambut iaitu Chinta Hair Salon & Beauty dan kami pun sudah mempunyai pelanggan tetap.

"Jujurnya saya tidak terfikir lagi untuk membuka produksi sendiri kerana saya sedia sibuk dengan komitmen sebagai seorang pelakon, pengusaha salon dan duta produk," katanya.

Fasha tidak terfikir untuk ke arah itu kerana buat masa sekarang, lebih baik untuknya memberi fokus dengan apa yang saya usahakan sekarang ini.

"Lebih-lebih lagi komitmen saya kini hanyalah untuk drama Lara Aishah kerana tempoh penggambarannya yang panjang iaitu 100 episod,” terangnya ringkas.

Dalam perkembangan lain, Fasha kini merupakan wajah wakilan untuk beberapa jenama antaranya haruman Fasha Sanda by D’haja.

“Pada masa sama, saya ada mendapat tawaran untuk berlakon di dalam sebuah filem selepas ini. Namun saya masih belum beri jawapan sama ada mahu menerima atau pun tidak kerana saya ada terfikir untuk berehat seketika selepas selesai penggambaran drama Lara Aishah,”katanya lagi.
Powered by Blogger.