F Eva disalah anggap ahli sihir | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Eva disalah anggap ahli sihir

Memiliki kulit cerah dan pucat dengan rambut hitam dan renungan tajam membuatkan pelakon Eva Green, 36, kerap dipilih memegang watak jahat yang mempunyai kuasa ghaib.

Disebabkan sering melakonkan karakter seumpama itu, Eva sering disalah anggap oleh segelintir masyarakat umum.

Katanya, ada yang melihat dia seolah-olah ahli sihir sebenar yang berkemampuan menyumpah seseorang sehingga mati.

“Pernah terjadi pada hujung musim bunga, saya pulang ke Paris tempat saya lahir dan dibesarkan. Walaupun cuma berpakaian kemeja putih dan seluar jean, ia tidak berjaya menyingkirkan imej saya sebagai ahli sihir.


“Penduduk di kawasan kejiranan itu memandang saya seperti seseorang yang boleh memberikan sumpahan dan menyebabkan individu itu mati.

“Walaupun saya cuba bersikap ramah, mereka seperti takut dengan kehadiran saya di tempat itu. Ia kelakar tetapi pada masa sama menyukarkan saya untuk berbual dengan mereka.

“Apabila saya keluar bersenam, mereka akan memandang saya dengan pandangan pelik seolah-olah saya akan tiba-tiba terbang dengan penyapu,” katanya.

Bagaimanapun, watak yang memberi impak besar dalam kerjaya Eva ialah sebagai Vanessa Ives dalam rantaian Penny Dreadful. Siri itu baru saja menamatkan tayangan sembilan episodnya pada Jun lalu.

Mula mencuri tumpuan pada 2003, Eva makin dikenali apabila dipilih menjadi Gadis Bond dalam Casino Royale sebagai Vesper Lynd pada 2006.

Walaupun memberi lakonan cemerlang, penghasil filem masih memberikan watak ahli sihir kepadanya. Eva akui langsung tidak tahu watak Vanessa Ives itu mengenai seorang wanita yang dirasuk dan mempu­nyai kuasa kinetik menggerakkan apa saja yang ada di sekeliling.

“Saya hadir uji bakat mencari sesuatu untuk dilakukan kerana kebetulan ketika itu saya baru saja selesai penggambaran lain.

“Saya sekadar mencuba dan tidak sangka berjaya mendapat watak itu. Bagaimanapun ketika dimaklumkan karakter Vanessa, saya tidak terkejut. Malah saya seronok merealisasikan watak itu walaupun ia sangat memenatkan.

“Sepanjang melakonkan watak itu, setiap kali balik ke rumah, saya terus baring di sofa. Saya mahu baring sebentar kemudian barulah mandi dan terus tidur.

“Bagaimanapun disebabkan keletihan melampau, fizikal saya seperti tidak menurut arahan yang diberikan otak. Saya ingin bergerak tetapi terlalu lemah. Akhirnya saya terus tidur di sofa tanpa mandi atau membasuh muka.

“Sudah tiga musim saya berlakon drama itu dan kurang pasti sama ada mereka akan menghasilkan musim keempat atau sebaliknya,” katanya.

Dilahirkan di Paris, Perancis, nyata rezeki Eva bukan pada filem Perancis sebaliknya banyak berlakon dalam filem Inggeris. Malah Eva lebih fasih bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa ibundanya.

Kata Eva, dia pernah berlakon filem Perancis itu pun hanya sekali tetapi mengakui hasilnya sangat teruk.

“Saya memang ingin mencuba buat kali kedua tetapi saya takut. Saya tidak mahu menjadi perosak pada filem yang baik.

“Kadangkala berlakon dalam filem yang menggunakan bahasa lain melahirkan dalaman kita. Ia akan membentuk personaliti baru dan sekali gus memaksimumkan daya usaha kita.

“Ketika berlakon dalam filem James Bond, saya sedaya upaya bertutur menggunakan loghat Britain,” katanya.

Filem terbaru lakonannya, Miss Peregrine’s Home for Peculiar Children bakal ditayangkan di pawagam pada 29 September ini.

Dalam naskhah itu, Eva membawa watak Miss Peregrine, wanita yang menggunakan kuasa istimewanya untuk mendapatkan kanak-kanak.
Powered by Blogger.