F Eizlan Yusof hampir bersara? | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Eizlan Yusof hampir bersara?


PELAKON berkaliber, Datuk Eizlan Yusof mengakui hampir mengambil keputusan untuk bersara daripada industri seni.

Katanya, situasi itu timbul lantaran rasa kecewa apabila kerap kali disogokkan dengan watak lebih kurang sama serta bersifat santai.

“Jujurnya, saya sering ditawarkan watak yang agak santai sejak lima tahun kebelakangan ini.

“Ada satu ketika, saya rasa watak yang ditawarkan sekadar tempelan selain lebih kurang sama demi memenuhi kehendak skrip.

“Keadaan itu menyebabkan saya tidak puas berlakon menyebabkan saya terfikir untuk berhenti berlakon,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran drama bersiri, Lara Aishah baru-baru ini.

Pun begitu, katanya, keputusan itu terpaksa ditarik semula selepas ditawarkan untuk membintangi drama bersiri, Lara Aishah terbitan Global Station Sdn Bhd.

Pelakon berusia 45 tahun ini mengakui drama 100 episod itu mempunyai kelainan daripada segi jalan ceritanya sekali gus menguji kembali tahap lakonannya.

“Apabila saya baca skrip untuk 60 episod pertama, saya sudah nampak impaknya.

“Jalan cerita naskhah ini ada kekuatan tersendiri.

“Malah, kali ini, karakter saya juga lebih berat,” katanya yang menjayakan watak sebagai Datuk Nazri.

Tambahnya, drama arahan Riza Baharudin ini juga memberi peluang kepada beberapa pelakon senior seperti Dian P Ramlee dan Jasmin Hamid untuk memegang watak penting.

“Selalunya, pelakon lama hanya diberi watak sampingan tetapi dalam drama bersiri ini, kita diberi watak penting sebaris pelakon utama.

“Cerita ini sarat dengan mesej dan membuatkan penonton untuk mengetahui perjalanannya hingga episod akhir,” katanya yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PHD) di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang pengurusan.

Selain Eizlan, drama bersiri ini diterajui Fasha Sandha, Nazim Othman, Janet Khoo, Sharizal Jazel, Dayana Roza, Datuk Shah Reza, Zamarul Hisham, Watie Elite, dan ramai lagi.

Lara Aishah diadaptasikan daripada siri telenovela popular Mexico, La Loba, tersebut  ditayangkan bermula 29 Ogos lalu dari Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang di Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135).
Powered by Blogger.