F 'Doakan saya selamat sampai Masjid UIAM' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

'Doakan saya selamat sampai Masjid UIAM'

Ikon Rumah Ngaji, Datuk Rosyam Nor berharap perjalanannya daripada Kompleks Media Karangkraf  (Karangkraf) ke Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang dijadualkan esok pagi akan berjalan lancar dan selamat.

Rosyam berkata, misi berjalan kaki sejauh 47.2 kilometer ke destinasinya di UIAM esok adalah usaha terakhirnya untuk mempromosikan World #QuranHour yang akan berlangsung 11 September nanti.

Mengulas mengenai persiapan hari esok, pelakon dan juga pengarah filem popular itu berkata, beliau hanya mampu bertawakal kerana tidak sempat membuat persiapan dari segi ketahanan fizikal.

“Saya tidak buat apa-apa persediaan dari segi fizikal kerana masa pun semakin suntuk. Hanya berbekalkan sifat tawakal kepada ALLAH SWT dan semangat yang diberikan oleh isteri tercinta.

“Saya akan teruskan berjalan kaki esok selagi terdaya. Tidak kira hujan atau panas. Harapan saya agar kami berjaya sempurnakan misi berjalan kaki esok,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Upacara flag-off dijadualkan bermula pada jam 6.15 pagi esok akan diiringi pihak berkuasa dan ambulans.

Manakala laluan yang akan digunakan termasuk Lebuh Damansara-Puchong, Penchala Link dan Lebuh Raya Persekutuan.

"Akan ada beberapa sahabat yang akan bersama dengan saya esok. Kami akan memulakan perjalanan pada jam 6 pagi dan insya-ALLAH akan berakhir pada jam 5 petang iaitu selepas solat Asar," katanya lagi.

Rosyam dan peserta-peserta lain dijadualkan berhenti untuk menunaikan solat Zuhur dan mengedarkan risalah World #QuranHour di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail di Kuala Lumpur.

Hanya satu jam, bermula jam 9.00 pagi Ahad ini (11 September) seluruh dunia akan mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai penyatuan.

Program World #QuranHour yang julung kali diadakan pada tahun ini mengambil semangat penyatuan umat Islam yang sedang berhimpun di Padang Arafah pada hari wukuf bersamaan 9 Zulhijjah.

Fokusnya adalah untuk melupakan sebarang perbezaan yang wujud sesama umat Islam dan membina iltizam untuk melakukan kebaikan berlandaskan ajaran al-Quran.
Powered by Blogger.