F Blair Witch lebih menyeramkan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Blair Witch lebih menyeramkan

SELEPAS kejayaan The Blair Witch Project pada 1999, yang turut menjadikan filem tersebut pencetus kepada penghasilan filem menerusi teknik found footage iaitu video seolah-olah rakaman sebenar.

Syarikat Lionsgate kembali dengan sekuel filem berkenaan, Blair Witch yang menyaksikan Adam Wingard diberi kepercayaan sebagai pengarah.

Menariknya, di awal pembikinan filem ini, ia diberi judul The Woods dan pelakon-pelakon yang dipanggil uji bakat turut diberikan skrip palsu, sehinggalah mereka menandatangani tawaran.

Filem ini dijayakan James Allen McCune, Callie Hernandez, Brandon Scott, Corbin Reid, Wes Robinson, Valorie Curry dan masih mengekalkan beberapa petunjuk dari filem pertama seperti papan tanda, perbualan berkumpulan Facebook dan bahan bacaan.

Wingard dalam satu temu bual mendedahkan, filem ini menjadi kunci terhadap persoalan-persoalan yang tidak terjawab di dalam filem pertama dan dileraikan satu persatu.

Dalam masa yang sama, dia masih mengekalkan elemen found footage tanpa membuatkan penonton pening kepala dengan rakaman yang sentiasa bergoyang seperti dalam filem pertama, biarpun ia kelihatan seperti benar-benar berlaku.

Blair Witch membawakan kisah sekumpulan pelajar kolej yang terdiri daripada James Donahue, Lisa Arlington, Ashley Bennett dan Peter Jones, serta dua penduduk tempatan Talia dan Lane yang membuat keputusan untuk menyiasat kehilangan kakak James, Heather di Black Hills, Maryland.

Heather yang hilang secara misteri dipercayai telah terperangkap oleh kuasa jahat, Blair Witch.

Usaha mereka berlima akhirnya membawa mereka kepada penemuan yang menakutkan dan mereka semua harus berusaha menyelamatkan diri untuk terus hidup.

Secara keseluruhannya, pada pandangan penulis filem kali ini lebih menyeramkan daripada filem pertama.

Biarpun ada ketikanya elemen found footage yang dimasukkan membuatkan penonton pening kepala, namun ia menjadi antara elemen utama keseraman filem ini.

Masakan tidak, melihat kesemua mereka berusaha untuk terus hidup dan menyelamatkan diri daripada sesuatu yang tidak diketahui membuatkan penonton juga terasa debaran sama.

Ditambah pula dengan pencahayaan dan kesan bunyi membuatkan penonton tidak senang duduk sepanjang menyaksikan filem ini.

Kredit buat pengarah dan pelakon yang berjaya memberikan sebuah filem yang menarik dan menyeramkan.

Bagi anda yang ingin mengetahui kesudahan enam remaja ini, jangan lupa menyaksikan filem ini di pawagam.


Powered by Blogger.