F ‘Biarlah mak cik bela sampai mati’ | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

‘Biarlah mak cik bela sampai mati’


“Mak cik tak sanggup nak sembelih ayam ini, kesian tengok ada tiga kaki dan biarlah mak cik bela sampai dia mati,” kata pemilik ayam berkaki tiga, Fatimah Md Zain, 70, dari Kampung Kabong, Johol, kelmarin.

Kata Fatimah, ayam betina itu dihadiahkan oleh menantunya, Dollah Balu, 53, kira-kira dua tahun lalu selepas memperoleh dari kilang menternak ayam daging.

“Ayam ini ayam reject. Jadi bila tauke ayam tak mahu ayam ini, menantu bawa balik dan beri kepada mak cik untuk bela.

“Dia (menantu) bawa empat ekor anak ayam tapi kini hanya hidup ayam berkaki tiga ni saja. Mak cik memang gelar ayam kaki tiga sebab senang untuk ingat dan beri makan.

“Tengok saja ayam seperti ini, tapi kuat makan dan kini dianggarkan berat ayam dalam lima kilogram,” katanya.

Dia berkata, meskipun memiliki kecacatan di bahagian belakang paha kiri (punggung) ayam itu tetap aktif.

“Kaki ketiganya tidak berfungsi tapi aktif. Memang bila orang datang ke rumah, melihat ayam berkaki tiga semua cakap pelik.

“Makcik pun pada awalnya rasa bimbang kalau ayam ini bertindak agresif tapi selama dua tahun ini, ayam ni semakin jinak dan mudah mesra.

“Pada awalnya, kaki tambahan ini kelihatan seperti ketumbuhan sahaja. Tapi, setelah ayam menjangkau usia enam bulan, barulah bentuk kaki tambahan ini jelas kelihatan,” katanya.

Menurut Fatimah, yang anehnya, tiga ekor ayam yang dibawa pulang oleh menantunya kesemuanya mati kecuali yang berkaki tiga ini.

“Ayam ni dikatakan kurang sihat, sebab itu ayam ini diberi secara percuma saja dan tidak hairanlah jika jangka hayat ayam ini tidak lama.

“Bagaimanapun, ayam berkaki tiga ini agak luar biasa sebab hingga sekarang masih hidup dan sihat,” katanya memberi makanan seperti dedak, jagung dan nasi.

Fatimah berkata, sebagai tuan dan pemilik ayam ini, agak mustahil baginya untuk menyembelih atau menjual ayam ini kerana terlalu sayang.

“Biarlah dia mati di sini dan mak cik juga tidak akan menjualnya kerana sudah terbiasa melihat ayam berkeliaran di sekitar rumah,” katanya.
Powered by Blogger.