F Bahaya terlalu rapat dengan China | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Bahaya terlalu rapat dengan China

DALAM keasyikan kita membincangkan jalinan persahabatan Umno dengan Pas dan caci mencaci di kalangan parti-parti Barisan Nasional, ada satu perkembangan penting yang kita mungkin terlepas pandang.

Ia adalah jalinan kerjasama terus Persatuan Cina Malaysia (MCA) dengan Parti Komunis China (CCP).

MCA dan CCP telah berikrar akan mempertingkatkan perkongsian pengalaman di kalangan pemimpin kedua-dua buah parti di semua peringkat bagi mencapai keunggulan wawasan kerjasama.

Saya tidak menafikan kebijaksanaan Perdana Menteri kedua kita, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mempelopori jalinan diplomatik dengan China.

Malaysia mendahului banyak negara di dunia apabila mengadakan perhubungan diplomatik dengan China pada tahun 1974, ketika mana negara komunis itu masih dilihat sebagai ancaman dan musuh.

Abdul Razak pergi sendiri ke Beijing untuk tujuan itu dan pulang membawa kejayaan. Beliau menuai hasil segera daripada lawatan itu apabila pengundi Cina memberi sokongan padu kepada parti baru beliau, Barisan Nasional, dalam Pilihan Raya Umum tahun berkenaan.

Sejak itu, semua Perdana Menteri jadikan kunjungan ke China sebagai agenda penting dalam jadual lawatan antarabangsa mereka.

Cerita perhubungan intim MCA-CCP ini bukan rekaan atau, seperti yang pernah diungkapkan seorang jurucakap Pejabat Perdana Menteri, maklumat dipetik daripada sumber tepi jalan.

Ia adalah berita daripada sumber yang boleh dipercayai, iaitu akhbar The Star milik MCA sendiri. Pada 6 April lalu, ia memetik Ahli Jawatankuasa Pusat CCP, Song Tao, sebagai berkata beliau amat menghargai usaha MCA membantu memperkukuhkan kerjasama antara negaranya dengan Malaysia.

Dalam lawatannya ke Malaysia, Song yang juga Menteri di Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China berbincang dengan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Saya tidak menafikan kenyataan Liow bahawa kerjasama rapat Malaysia-China telah mula membuahkan hasil dengan bantuan kedua-dua buah parti, khususnya berkaitan inisiatif China yang dikenali sebagai The Silk Road Economic Belt and the 21st-century Maritime Silk Road.

Saya melihat ikrar kerjasama dua hala MCA-CCP ini sebagai unik pada saat di mana agensi-agensi milik kerajaan China nampaknya mendapat layanan istimewa dalam urusan perniagaan dengan Malaysia sehingga mula menarik perhatian negara-negara rakan perdagangan lain.

Kita juga telah melihat urusan warganegara China masuk ke negara kita sebagai pelancong, pelajar dan pemastautin dipermudahkan semata-mata kerana mereka ada wang untuk dibelanjakan. Kerana mudah masuk maka ramai yang tidak keluar.

Saya akui pentingnya perdagangan Malaysia-China. Sejak 2009 China adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia manakala bagi negara China pula, Malaysia adalah rakan perdagangan kelapan terbesar di dunia. Tetapi apa yang merisaukan adalah pemberian kontrak dan penjualan aset strategik milik negara kepada syarikat-syarikat milik kerajaan China. Tambah membimbangkan adalah layanan dan syarat istimewa urus niaga berkenaan.

Ambil contoh penjualan loji-loji penjanaan elektrik Edra Global Energy, iaitu anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada China General Nuclear Power Corporation (CGN) akhir tahun lalu.

1MDB membeli penjana bebas itu daripada pemilik tempatan dengan harga RM12 bilion, tetapi menjualnya kepada CGN dengan harga istimewa RM9.8 bilion.

Kemudian pada bulan Mac lalu, 1MDB menjual pula 60 peratus saham syarikat pemaju Bandar Malaysia, iaitu tapak Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi kepada syarikat usaha sama Cina Malaysia dengan China Railway Construction Engineering (CREC).

Kini timbul pula ura-ura agensi milik kerajaan China, China Communications Construction Company (CCCC) akan diberi kontrak raksasa membina landasan baru kereta api dari Kuala Lumpur ke Pasir Mas melalui Pahang dan Terengganu.

Yang menjadi kontroversi adalah dakwaan kos projek itu digelembungkan daripada RM30 bilion menjadi RM60 bilion dan hakikat CCCC telah disenaraihitamkan oleh Bank Dunia kerana rasuah di Filipina.

Seperti kita tahu, rasuah adalah masalah besar di China dan ramai pegawai kanan kerajaan serta pemimpin parti  telah dijatuhi hukuman mati. Yang wajib kita pastikan adalah mereka tidak mengeksport amalan jahat itu ke negara kita kerana kita sendiri sedang mengalami wabak rasuah yang teruk.

Adalah berbahaya bagi kita terlalu rapat dengan sesebuah negara kuasa besar sehingga menimbulkan rasa cemburu dan curiga negara-negara rakan perdagangan yang lain. Lagipun kita tidak mahu menjadi negara satelit mana-mana negara besar sama ada dalam bidang diplomatik mahupun ekonomi. Wallahuaklam.
Powered by Blogger.