F Antara Ekstrem dan Fobia Sherry Al-Hadad | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Antara Ekstrem dan Fobia Sherry Al-Hadad

Pelawak dan pengacara Sherry Al-hadad mengakui bahawa dia kini lebih yakin pada dirinya sendiri untuk melakukan aktiviti lasak dan mencabar selepas penyertaannya menerusi program Extreme Roadtrip.

Tidak keseorangan, program yang bakal ditayangkan mulai 1 Oktober di saluran Astro Bella itu turut menampilkan dua gadis lincah iaitu pelakon Elfira Loy dan Ardel Aryana. Menggabungkan konsep roadtrip dan bucket list, ketiga-tiga mereka menjelajah ke beberapa negeri terpilih untuk menyempurnakan cabaran ekstrem.

Menurut Sherry atau nama sebenarnya Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, 32, selama ini dia kurang berminat apatahlagi terfikir mahu melakukan aktiviti-aktiviti lasak.

"Bagi yang betul-betul mengenali saya, mereka tahu, sedangkan hendak menaiki tangga pun saya paling tidak suka. Saya mesti nak cari lif (gelak). Apatahlagi hendak buat aktiviti-aktiviti ekstrem, saya tidak pernah terfikir pun...

"Tapi apabila saya ditawarkan sertai program ini, saya bersetuju kerana saya rasa mahu cabar diri saya, setakat mana kemampuan saya dan apa yang boleh dan tidak boleh buat. Tambah teruja, selepas mendapat tahu saya akan buat program ini bersama kawan-kawan iaitu Elfira dan Ardel. Saya tahu mereka memang sudah biasa dengan aktiviti lasak.

"Selepas jalani penggambaran, sekarang saya lebih rasa percaya dengan diri saya. Kadang-kadang saya masih tidak percaya lagi yang saya mampu buat perkara yang tidak pernah saya fikir pun boleh buat. Rata-rata aktiviti dan cabaran yang saya buat adalah pertama kali dalam hidup saya," katanya ketika ditemui pada sidang media Extreme Roadtrip, bertempat di ibu kota, kelmarin.

Berkongsi lanjut mengenai pengalaman dan kesusahan yang dilalui, Sherry mengakui rata-rata task dan cabaran yang dilalui sangat sukar baginya. Sehingga ada ketikanya membuatkan dia berasa terlalu tertekan dan menangis.

Namun selepas mendapat sokongan semnagat dariada Elfira dan Ardel dia akhirnya cuba melakukan cabaran tersebut sehingga berjaya.

Antara cabaran yang dilakukakn seperti aktiviti rock climbing, cliff jumping, flying fox, menuruni tangga tergantung setinggi 16 kaki serta aktiviti di Gua Anak Tempurung yang mana dia di cabar mengatasi klaustrofobianya (rasa takut akan terkurung pada suatu tempat).

"Antara yang paling mencabar, ketika aktiviti mendaki di Bukit Terisik yang terletak di taman negara. Bayangkan saya perlu mendaki sebanyak 1500 anak tangga dan jujurnya saya hampir putus asa.

"Ketika itu, Elfira dan Ardel sudah laju di depan. Saya dibelakang ditemani pengarah, Nizam Zakaria. Ada satu ketika, saya betul-betul tidak larat dan terlalu penat. Tetapi kebetulan, lalu seorang pelancong mat salih yang badannya lebih besar daripada saya. Terus saya rasa termotivasi dan bersemangat untuk meneruskan perjalanan.

"Selain itu, cabaran di Sky Track di Langkawi. Ada pelbagai cabaran termasuklah saya buat flying fox. Tetapi untuk menamatkan cabaran itu, task terakhirnya adalah kami perlu menuruni tangga yang tergantung setinggi 16 kaki. Memang dari segi keselamatan memang tiada masalah kerana ada langkah-langkah keselamatan yang dikawal rapi oleh para profesional tetapi masalahnya, saya berasa sangat gayat.

"Berkali-kali saya meminta kepastian daripada kru yang mengendalikan aktiviti itu, saya katakan pada mereka, saya mahu turun dengan cara lain. Tetapi malangnya, itu saja jalannya. Ketika hendak turun, saya memang tidak boleh lakukan. Saya menjerit sekuat hati dan mengatakan pada kru saya tidak boleh buat.

"Lucunya, selama ini kru-kru profesional di situ, mereka tidak pernah mengalami situasi peserta panik seperti saya. Jadi apabila mereka lihat saya menjerit, mereka pun mula panik," katanya yang turut menyatakan tidak sabar untuk menantikan siaran program itu.

Meskipun berdepan kesusahan dan ketakutan sewaktu penggambaran namun Sherry berkata, pengalaman-pengalaman tersebut menyeronokkan dan menyuntik semangat sekaligus memotivasikan dirinya sendiri.

"Ketika penggambaran, apabila dalam keadaan penat dan letih tetapi kita harus habiskan cabaran, ia sangat memberi tekanan pada saya. Tambahan apabila melihat Elfira dan Ardel, mereka sangat lincah, aktif dan laju sedangkan saya tertinggal di belakang.

"Setiap kali situasi itu, membuatkan saya bermonolog sendiri di dalam hati mempersoal diri sendiri, kenapa saya tidak boleh jadi seperti mereka? Sampaikan kadang-kadang saya rasa macam saya ni gila pula, bercakap seorang diri," katanya sambil tertawa.

Dalam perkembangan lain, Sherry baru selsai menjalani penggambaran sitkom Oh My English After School. Dia bakal mengendalikan Anugerah Planet Muzik 2016 (APM2016) yang akan berlangsung di Singapura pada 30 September ini.
Powered by Blogger.