F Amira Othman tidak kisah dirinya dikritik | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Amira Othman tidak kisah dirinya dikritik

PENYANYI kelahiran Akademi Fantasia 2013, Amira Othman kini mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan. Buat pertama kalinya dia muncul dalam drama 26 episod, Abang Bomba I Love You yang kini sedang disiarkan di Astro Ria.

Meskipun tanpa sebarang pengalaman berlakon, Amira memberanikan diri untuk menerima tawaran itu kerana berasakan ia peluang terbaik buat dirinya untuk mencuba sesuatu yang baharu.

“Sebenarnya saya tidak pernah terfikir pun untuk terlibat dalam dunia lakonan. Namun apabila mendapat tawaran, saya rasa apa salahnya mencuba. Lagipun ia boleh dijadikan platform untuk saya mengembangkan bakat selepas ini.

“Sebelum memulakan penggambaran, saya awal-awal lagi beritahu pengarah yang saya langsung tiada pengalaman berlakon. Takut juga kalau menyusahkan orang lain.

“Namun pengarah dan rakan-rakan pelakon yang terlibat dalam drama ini menyatakan kesediaan mereka untuk membantu,” kata Amira yang memegang watak sebagai Lily.

Mengakui lakonannya masih kaku dan banyak kelemahan, Amira tidak kisah dirinya dikritik.

Baginya segala kritikan atau teguran yang diberikan oleh penonton seharusnya diterima dengan hati  terbuka.

“Saya tahu lakonan pertama ini banyak menerima kritikan daripada penonton terutamanya pada episod-episod awal. Namun saya sedikitpun tidak berkecil hati atau marah dengan apa yang mereka perkatakan.

“Apa salahnya mereka menegur untuk kebaikan. Saya masih dalam proses pembelajaran dan pengalaman ini mungkin akan membantu saya menjadi pelakon yang lebih baik pada masa akan datang.

“Apapun saya tidak pernah patah semangat atau serik untuk berlakon lagi jika diberikan peluang selepas ini. Cuma ia mungkin tidak dilakukan secara lebih serius kerana keutamaan saya kepada bidang nyanyian.

“Saya tidak mahu nanti ada peminat yang lupa bahawa saya asalnya merupakan seorang penyanyi,” kata pelantun lagu Hati Hati ini.

Dalam perkembangan lain, kata Amira, dia kini dalam perancangan untuk tampil dengan album sulungnya tidak lama lagi.

Namun sebelum album tersebut diterbitkan, peminatnya diperdengarkan dahulu dengan single terbaru daripadanya, Jaga Jaga yang juga diangkat menjadi lagu tema drama pertama lakonannya ini.

“Saya kini dalam proses untuk mengumpulkan material untuk album sulung. Meskipun sebelum ini saya diterima menerusi lagu yang berirama rancak, untuk album nanti kalau boleh saya mahu memuatkan lebih lagu-lagu yang berentak perlahan.

“Saya harap perancangan ini menjadi kenyataan dan menamatkan penantian saya sebelum ini. Peminat juga asyik bertanya bila album saya akan keluar.

“Apa yang boleh saya katakan, saya kini sedang bekerja keras ke arah itu,” katanya yang kini sedang ligat merancana kerjaya seninya.
Powered by Blogger.