F Aliff Aziz azam jadi suami terbaik | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Aliff Aziz azam jadi suami terbaik

HUBUNGAN percintaan yang disatukan hingga ke fasa perkahwinan pasti menjadi impian setiap insan bercinta.

Begitu juga yang dirasai pelantun yang terkenal dengan lagu Jangan Ganggu Pacarku ini apabila sah bergelar suami pada tarikh 9 September lalu.

Penyanyi yang juga pelakon, Aliff Aziz, 25, telah selamat diijabkabulkan bersama permaisuri hatinya, Dayang Ara Nabellah Binti Awang Astillah, 22, di Grand Nikah Hall, Plaza Jelutong, Shah Alam. Pada sebelah malamnya pula, majlis resepsi telah pun diadakan dalam suasana yang cukup meriah di Top Glove Tower, Setia Alam.

Aliff Aziz atau nama penuhnya Mohamad Aliff Aziz nampak segak dalam persalinan rona biru gelap di samping isteri yang anggun mengenakan gaun daripada Cosry, sempat merakamkan ucapan terima kasih buat media yang hadir pada hari bersejarah mereka.

Menyifatkan dia sudah memikul satu tanggungjawab baharu, Aliff berkata dia berazam untuk menjadi suami yang baik buat isterinya.

“Doakan yang baik-baik untuk kami. Saya juga rasa amat bersyukur kerana tidak sangka dalam tempoh ini saya sudah bergelar suami.

“Tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata bila mana ramai yang hadir ke majlis akad nikah hinggalah ke resepsi. Harap ALLAH SWT merahmati kami. Saya berdoa agar menjadi suami yang baik dan begitu juga dengannya, harap menjadi isteri solehah,” katanya.

Ditanya mengenai soal tanggungjawabnya yang lebih besar selepas ini, Aliff mengakui sebagai manusia biasa, dia tidak berani untuk menjanjikan apa-apa selain berusaha untuk melakukan yang terbaik.

“Pada saya, tiada lelaki yang boleh cakap mereka sudah bersedia 100 peratus bila bergelar suami kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Apa yang terjadi pada rumah tangga orang lain, tidak semestinya akan sama dengan situasi rumah tangga kita.

“Jadi kami mengambil pendekatan untuk tidak membandingkan. Cuma apa yang saya boleh cakap ialah, kami berdua sebagai pasangan muda perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berhadapan dengan segala apa cabaran yang bakal muncul pada masa depan. Doakan yang baik-baik sahaja,” pinta Aliff.

Sokongan penuh

Bagi Dayang Ara Nabellah atau lebih mesra dengan sapaan Bella, dia turut memanjatkan rasa syukur dan lega kerana majlis sudah pun selesai dan berjalan seperti yang diharap-harapkan. Sebagai seorang isteri, Bella memberitahu MH bahawa dia tidak akan menyekat karier si suami kerana sedar akan minat dan kecintaan Aliff terhadap dunia seni.

“Pada saya setiap perkahwinan yang dibina pasti akan cabarannya dan Insya-ALLAH kami akan hadapinya bersama biar waktu sudah dan senang. Apa yang pasti, ini adalah jodoh kami dan saya bertuah kerana suami seorang yang penyayang.

“Pada masa sama, saya tetap akan sokong kerjaya seninya. Malah saya sering berikan kata-kata semangat buat suami untuk terus maju dalam apa yang dilakukan,” ujar Bella.

Dalam pada itu, Aliff turut membayangkan bahawa dia memasang niat untuk mempelawa isterinya itu menjadi pembantunya dalam dunia seni pada masa akan datang.

Berkongsi perihal lokasi bulan madu pasangan ini pula, mereka masih belum memilih destinasinya namun beberapa buah destinasi sudah bermain-main di fikiran.

“Soal bulan madu kami belum rancang apa-apa lagi, mungkin Korea atau pun Mesir bergantung pada pilihan isteri. Kami perlu praktikal dari segi masa dan juga komitmen kerjaya saya dan isteri juga,” ujar Aliff ringkas.

Dalam perkembangan lain, Aliff turut di dalam drama berepisod berjudul Meh Sandar Pada Aku yang turut menampilkan aktres Mira Filzah sebagai teraju utamanya. Drama yang diadaptasikan daripada naskhah novel itu bakal ditayangkan di TV3 tahun hadapan mengikut perancangan.

Antara rakan selebriti yang turut hadir memeriahkan majlis ialah Mira Filzah, Mimi One Nation Emcee, Fiza Elite, Ifa Raziah dan ramai lagi. Terdahulu sebagai kejutan buat tetamu yang hadir, pasangan ini turut mendendangkan pilihan lagu masing-masing seperti Kaulah Segalanya dan My Baby You.
Powered by Blogger.