F Alif Satar jalani latihan intensif | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Alif Satar jalani latihan intensif


TIDAK dinafikan fenomena drama Dia Semanis Honey yang disiarkan menerusi saluran Astro Ria beberapa bulan lalu berjaya membawa nama dua pelakon utamanya, Alif Satar dan Siti Nordiana sebagai antara gandingan serasi di layar televisyen.

Rentetan daripada kejayaan itu, Pengarahnya, Michael Ang memberi idea untuk membawa drama yang merupakan adaptasi novel ke pentas teater pada Oktober depan mengikut perancangan.

Alif Satar ketika ditemui mengakui teruja dan berdebar sementelah ia merupakan percubaan kedua penyanyi itu untuk beraksi di pentas teater.

Untuk rekod, percubaan pertama Alif berlakon teater adalah pada 14 tahun yang lalu menerusi teater Peter Pan The Muscial ketika West End of London hadir ke Genting Higlands.

“Meskipun ia sudah lama, namun rasa terujanya tetap ada. Apapun saya tetap rasa takut kerana tempoh persembahannya yang terlalu dekat dan saya ada beritahu Michael agar ia dilakukan secara tergesa-gesa.

"Yang pasti, dalam tempoh inilah kami perlu lakukan latihan intensif demi menghasilkan sebuah naskhah teater muzikal yang baik," katanya.

Memandangkan Alif dan Siti Nordiana adalah penyanyi, jadi apabila berlakon teater, mereka juga perlu memikirkan soal tarian, skrip dan sebagainya.

"Itulah yang membuatkan saya gementar, tetapi teruja pada masa yang sama.

“Apabila nyanyi lagu sendiri, sudah pasti kita akan ada 'feel' tersendiri dan bebas untuk lakukan gerakan apa sahaja tetapi teater, sudah tentu kita akan terikat,” ujar Alif ringkas.

Kerja keras

Dalam perkembangan lain, Alif turut mengumpul material untuk album terbaru bersama Faizal Tahir yang mana ada sebuah lagu di dalam album tersebut akan dijadikan sebagai runut bunyi untuk drama lakonan Neelofa dan Fattah Amin berjudul Suri Hati Mr Pilot tidak lama lagi.

“Saya yang mempelawa dia (Faizal Tahir) untuk bekerjasama di dalam sebuah album kerana kami pernah menyertai rancangan One In A Milion dan dia pun merupakan kenalan lama.

"Jadi rasanya tiada masalah untuk kami berdua berkolaborasi. Idea muziknya segar dan semasa. Harapnya ia akan menjadi,” jelas Alif yang turut mempunyai sebuah lagu duet bersama Shila Amzah berjudul Selamanya Cinta.

Melihat perkembangan seninya sekarang yang makin menyinar, Alif yang sibuk pada setiap Ahad bagi mengacarakan program realiti Akademi Fantasia 2016 (AF 2016) bersama Zizan Razak menjelaskan untuk bertahan lama dalam dunia seni, kuncinya hanyalah satu iaitu kerja keras.

“Perjalanan seni saya begitu panjang dan jujurnya tidak kisah jika dulu kelompok peminat tidak sebesar sekarang.

"Cuma dulu saya jadi pengacara dan pelakon dalam produksi dan jenama yang kecil mungkin. Sekarang ia jadi lebih besar dan peluang menjadi pengacara AF 2016 adalah satu penghargaan atau kepercayaan yang begitu besar.

"Jadi mungkin dari situ orang lebih ‘buka mata’ pada bakat dan kebolehan saya. Saya tidak percaya kepada persepsi bahawa ‘kita boleh tiba-tiba jadi popular’," katanya.

Sebaliknya, katanya, jika mahu bakat itu dikenali dan dihargai, perlu kerja keras.

"Selebihnya, hanya masa dan rezeki yang menentukan,” terang Alif yang sudah 10 tahun berkecimpung dalam dunia seni lokal.

AF2016 beri pengalaman

Ditanya adakah Alif rasa takut atau bimbang setiap tindak-tanduk diperhatikan seiring dengan populariti yang hadir, selebriti ini mengakui akan hal tersebut namun sudah semestinya dia akan lebih berhati-hati selepas ini.

“Bagi saya mudah. Jika buat silap, kita perlu minta maaf dan jadikan ia sebagai pengajaran.

"Artis pun manusia biasa yang pasti akan lakukan kesilapan. Saya mahu kekal lama di dalam industri ini dan pastinya cuba berikan yang terbaik sama ada di dalam lakonan, nyanyian atau pun pengacaraan," katanya.

Alif berkata, dia juga masih lagi belajar dan kutip pengalaman yang ada untuk menjadi lebih baik.

"Jadi tidak ada salah jika kita sudah melakukan kesilapan sama ada sedar atau tidak, kita perlu memohon maaf.

"Itulah yang terbaik. Pun begitu saya faham peminat seni di Malaysia pun sudah boleh menilai mana yang baik dan buruk.

“Lagi pula mengacara AF 2016 misalnya, saya sendiri masih baru dan tentunya gementar setiap kali ia bersiaran secara langsung. Hanya Tuhan saja yang tahu," katanya.

 Apa pun, katanya, dia berikan yang terbaik dan setiap respons yang diterima daripada penonton sama ada baik atau sebaliknya.

"Saya akan belajar balik untuk menjadi lebih baik dalam episod yang akan datang, Insya-ALLAH,” ujar Alif yang kini sudah pun mempunyai lebih 600,000 pengikut di laman Instagram.
Powered by Blogger.