F Aiman Tino lebih selesa semua kawal diri | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Aiman Tino lebih selesa semua kawal diri

Hanya berbekalkan single sulung, Ku Rela Dibenci, pendatang baru dalam industri muzik tempatan, Aiman Tino, 18, kini menjadi sensasi terbaru dunia seni.

Bukan saja klip video Ku Rela Dibenci yang dimuat naik di laman YouTube memperoleh jumlah tontonan hampir 11 juta, terbaru dia diserbu hampir 5,000 peminat sehingga ada yang bertindak keterlaluan memeluk dan mencium jejaka berasal dari Kuala Kubu, Selangor ini.

Kejadian berlaku minggu lalu sewaktu menjayakan Pentas Best FM 2016 di Angsana Johor Bahru, Johor, benar-benar mengejutkan dirinya kerana belum pernah dalam hidupnya berdepan situasi terbabit.

Aiman sewaktu dihubungi, mengakui pengunjung dan peminat belum lagi ramai sebaik saja dia tiba di lokasi karnival.


Katanya, sepanjang menanti persembahan dimulakan, dia berada di belakang pentas dan tertutup serta tidak tahu hampir 5,000 menunggu di luar ruang legar Angsana.

“Saya hanya tahu kehadiran ramai penonton apabila nama diumumkan pengacara untuk tampil ke pentas dan menyanyi. Sebaik muncul dan menyanyi, saya terkejut mendengar sorakan dan jeritan penonton,” katanya.

Sebaik habis menyanyi, Aiman terus beredar dan dalam perjalanan ke kereta di luar, peminat datang menyerbunya. Waktu itulah ada peminat perempuan mengambil kesempatan untuk memeluk dan menciumnya.

“Saya memang dikelilingi ramai peminat sehingga tiada ruang untuk bergerak. Hendak berjalan pun susah. Saya sendiri terus terang tidak perasan sehingga ada yang memeluk dan mencium. Hendak mengelak pun tidak boleh,” katanya.

Kata Aiman, apabila melihat situasi itu baru dia sedar dirinya memang diminati dan bersyukur apabila kehadirannya sebagai penyanyi diterima baik.

“Saya akui melihat sambutan diberikan peminat bagaikan tiupan semangat buat saya. Bagaimanapun, jujurnya saya kurang selesa apabila insiden dipeluk dan dicium itu berlaku.

“Mustahil timbul rasa seronok apabila perkara itu berlaku. Saya memang tidak suka. Selain melanggar adab dan agama, saya bimbang sekiranya apabila ada peminat berbuat demikian nanti ada orang yang tidak bertanggungjawab mengambil gambar dan menyebarkannya.

“Sekiranya perkara itu berlaku, nanti tersebar pula fitnah dan ia akan memberi kesan tidak sahaja kepada saya, juga orang yang memeluk dan mencium saya,” katanya.

Aiman atau Mohd Aiman Yusri tidak menyalahkan peminat terbabit atas perlakuan mereka yang keterlaluan kerana berasakan apabila seseorang itu bertemu dengan penyanyi yang terlalu diminati, datang perasaan yang menyebabkan mereka mengambil tindakan di luar sedar.

“Nasihat saya, suka macam manapun cubalah kawal diri, janganlah bertindak sampai melanggar batas sehingga mahu mencium atau lebih buruk melakukan perkara yang boleh memudaratkan kedua-dua belah pihak,” katanya.

Susulan daripada peristiwa yang berlaku di Johor Bahru itu, Aiman menafikan dia mengambil keputusan untuk mengupah pengawal peribadi.

Bagaimanapun, katanya, ayahnya menegaskan selepas ini ke mana saja dia pergi harus ditemani ahli keluarga dan beberapa orang lagi yang mampu membantu untuk mengawal keadaan.

Lagu Ku Rela Dibenci adalah ciptaan ACK dan lirik oleh Riena. Bapa Aiman, Yusri Ishak adalah finalis Bintang HMI 1992.
Powered by Blogger.