F Zainal Abidin akui terkejut dipecat tanpa amaran | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Zainal Abidin akui terkejut dipecat tanpa amaran

BEKAS jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan mengakui terkejut menerima berita pemecatannya kerana ia dibuat tanpa sebarang amaran awal.

Namun Zainal Abidin, 54, tetap akur dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) itu, yang diumumkan presidennya sendiri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Ahad lepas.

"Itu hak mereka jika tidak mahu gunakan khidmat saya... tanpa beri isyarat, memang terkejut tapi saya tidak boleh bantah," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Menurut FAS, pemecatan Zainal Abidin itu adalah disebabkan kemerosotan prestasi skuad Gergasi Merah selepas tewas buat kali keempat berturut-turut dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Menjelaskan mengenai prestasi pasukannya itu, Zainal Abidin berkata, pada awal musim skuad utama berada dalam kondisi terbaik namun tersepit selepas beberapa tonggak pasukan mengalami kecederaan.

Ketiadaan Andik Vermansah dan Ahmad Hazwan Bakri dilihat memberi kesan di bahagian serangan dan harapan hanya diletakkan kepada pemain import Patrick Ronaldinho untuk mengemudi jentera serangan.

Di barisan pertahanan pula, kekerapan pemain pertahanan melakukan kesilapan mudah memberi peluang kepada lawan untuk menjaringkan gol, sekali gus menghukum Selangor.

"Saya bukan beri alasan tetapi kenyataannya ialah ramai pemain yang cedera. Keputusan memang tidak menyebelahi Selangor namun kami masih lagi di tempat yang baik.

"Pasukan saya memang ada kelemahan, terumbang-ambing. Bila ada berlaku kecederaan, ada perubahan posisi... persefahaman tidak dapat dibentuk dengan cepat," kata bekas pertahanan Selangor awal 1980-an itu.

Zainal Abidin menjadi penyerang yang digeruni di pentas domestik dan antarabangsa apabila jurulatih Pahang, Fred Binney mengubah posisinya apabila menyertai pasukan itu pada 1983.

Ditanya sama ada FAS ada memberikan bayangan mengenai kedudukannya, Zainal Abidin berkata sebelum ini persatuan itu hanya mengadakan perbincangan dengannya bagi meneliti kedudukan pasukan.

Menurutnya, dalam perbincangan itu beliau diarah meningkatkan prestasi pasukan, namun Zainal Abidin berpendapat beliau dan pasukannya perlu diberi masa untuk kembali ke prestasi sebenar.

Zainal Abidin dijangka bertemu bekas majikannya itu dalam masa terdekat dan menegaskan beliau akan berehat terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sebarang tawaran.

Tempat Zainal Abidin akan digantikan pembantunya K. Gunalan bagi menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia sehingga calon sesuai dikenal pasti.

Sebagai rekod musim ini, Selangor tersingkir di peringkat kumpulan Piala AFC, tewas pada pusingan kedua Piala FA dan hanya menang tujuh daripada 17 perlawanan Liga Super untuk berada di kedudukan ketiga setakat ini dengan 26 mata, 17 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim
Powered by Blogger.