F Video Gelagat Anak Pengubat Rindu Eizlan Yusof | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Video Gelagat Anak Pengubat Rindu Eizlan Yusof

Biarpun tinggal berasingan dengan anak-anaknya namun Datuk Eizlan Yusof, 45, memberitahu beliau tetap mencari peluang untuk meluangkan masa bersama mereka setiap kali tidak terikat dengan komitmen kerja.

Eizlan ketika ditemui berkata, beliau bersyukur kerana bekas isterinya tidak pernah menghalangnya bertemu dengan anak-anak. Sekiranya tidak ada kesempatan dek kekangan waktu, kiriman video serta perbualan menerusi aplikasi Whats App menjadi pengubat rindu beliau pada anak-anaknya, Vie Zaara, 8, Zareef Yusof, 6, dan Vie Zaalia, 3.

"Memang saya sibukkan diri dengan kerja-kerja berlakon dan menguruskan perniagaan. Saya juga kini sedang melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah (PHD) di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang pengurusan.

"Tapi setiap kali ada cuti atau ada masa terluang, saya akan jumpa dan ambil anak-anak, luangkan masa bersama mereka. Alhamdulillah, bekas isteri tidak pernah menghalang saya bertemu mereka malah saya boleh datang pada bila-bila masa saja.

"Anak-anak pula walaupun mereka belum betul-betul faham keadaan sebenar tetapi bagi mereka, setiap kali ketiadaan saya mereka mengganggap saya keluar bekerja. Jika tiada peluang meluangkan masa, saya akan hubungi mereka bertanyakan khabar.

"Anak yang sulung sudah pandai guna telefon pintar, kadang-kadang kami ber-Whats App. Kalau rasa rindu sangat, saya tengoklah semula video gelagat-gelagat mereka. Setiap malam apabila hendak tidur, mesti saya tengok video mereka dulu. Terubat jugalah rindu," katanya kepada Malaysian Digest.

Eizlan bercerai dengan bekas isterinya, Vie Santie Harun, 30, pada 24 September 2014.

Dalam pada itu, diusik dengan pertanyaan tidakkah mahu menjalani semula kehidupan berumah tangga, Eizlan berkata dia tidak pernah menutup pintu hatinya untuk kembali bergelar suami. Namun buat masa ini dia masih belum memikirkan mengenai perkara itu.

"Saya tidak tutup pintu hati saya. Tapi buat masa ini saya mahu fokus pada kerja dan anak-anak. Kesibukan rutin harian saya membuatkan saya tidak berasa sunyi. Instagram saya pun kalau tidak tentang kerja, saya suka berkongsi tentang anak-anak.

"Lagipun saya belum bertemu dengan wanita yang betul-betul sesuai. Saya mencari seorang yang memahami saya dan kerja saya, boleh menerima anak-anak saya. Tak tahu lah apa yang akan berlaku di masa hadapan. Jodoh itu ditangan Tuhan...," katanya sambil tersenyum.

Bosan Karakter Santai

Berkongsi mengenai perkembangan seni, Eizlan bakal muncul menerusi drama sebanyak 100 episod berjudul Lara Aishah yang akan ditayangkan di saluran Astro Prima mulai 29 Ogos ini.

Mengulas mengenai karakternya kali ini, katanya, dia bersyukur kerana akhirnya selepas seringkali menjiwai watak yang disifatkannya santai dalam drama-dramanya sebelum ini, tetapi Lara Aishah kembali menguji lakonannya.

"Sejak lima tahun kebelakangan ini, saya sering ditawarkan watak yang pada saya santai dan tidak memberikan kepuasan sepenuhnya sebagai seorang pelakon. Kadang-kadang tu, saya rasa sekadar tempelan saja. Malah ada watak yang saya bawakan lebih kurang sama kerana memenuhi kehendak skrip.

"Sebenarnya pernah sampai ke tahap mahu bersara daripada bidang ini kerana sudah terlalu kerap memainkan watak yang hampir sama. Namun ketika itu, rezeki datang dan saya terima tambahan berlakon adalah passion saya.

"Apbila pihak Global Station menawarkan saya berlakon dalam drama Lara Aishah ini, bila saya baca skripnya untuk 60 episod pertama, saya sudah nampak impak kerana jalan cerita naskah ini mempunyai kekuatan tersendiri. Karakter saya kali ini juga lebih berat," katanya yang menjayakan watak sebagai Dato Nazri.

Selain Eizlan, drama arahan Riza Baharudin ini diterajui gandingan Fasha Sandha dan Nazim Othman serta dibarisi pelakon lain seperti Dian P. Ramlee, Jasmin Hamid, Janet Khoo, Sharizal Jazel, Diana Roza, Dato Shah Reza, Zamarul Hisham, Watie Elite, dan ramai lagi.

Diadaptasikan daripada siri telenovela popular Mexico berjudul La Loba, drama terbitan Global Station Sdn Bhd ini masih lagi menjalani penggambaran sehingga November depan.
Powered by Blogger.