F Tombiruo saksi gabungan empat syarikat penerbitan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Tombiruo saksi gabungan empat syarikat penerbitan

SELEPAS hampir dua tahun pelancarannya, naskhah yang diadaptasi daripada novel terkenal karya Ramli Awang Murshid, Tombiruo: Penunggu Rimba hampir pasti ke layar perak.

Lebih istimewa, filem itu menyaksikan gabungan empat syarikat iaitu Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan selaku penerbit, yang berkolaborasi buat kali pertama.

Menurut Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, selaku agensi pengedar dan pemasaran bagi filem itu, pihaknya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan tiga lagi syarikat untuk menjayakan filem berkenaan.

"Tombiruo menyaksikan sebuah filem yang sarat dengan aksi, elemen kekeluargaan serta memaparkan flora dan fauna yang terdapat di Malaysia yang jarang dipaparkan di dalam filem tempatan.

"Selain itu, filem ini juga disokong oleh tenaga produksi yang berpengalaman luas dalam pembikinan filem dari dalam dan luar negara serta barisan pelakon handalan tanah air.

"Kami sudah bersedia membuat percaturan dalam merangka promosi bagi filem ini agar ia mampu membuatkan peminat dan penonton teruja.

"Kami juga berharap, kerjasama seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Tombiruo yang berlatarbelakangkan Negeri Di Bawah Bayu telah memulakan penggambaran pada 31 Julai lalu dan dijangka selesai sepenuhnya pada September depan melibatkan beberapa kawasan hutan di Lembah Klang dan Sabah.

Lebih menarik, filem itu juga menyaksikan gandingan dua pengarah iaitu Nasir Jani yang suatu ketika dahulu cukup terkenal dengan filem Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta 87, bersama Seth Larney yang pernah terlibat dalam penghasilan filem Hollywood seperti The Matrix Reloaded, The Matrix Revolutions, Star Wars: Revenge of the Sith, X-Men Origins: Wolverine, Superman Returns dan The Chronicles of Narnia: Voyage of the Dawn Treader.

Nasir akan memberi sentuhan teliti pada elemen drama dan penataan seni, manakala Larney akan memberi tumpuan pada sudut teknikal, babak aksi dan kesan khas.

Tidak hanya menampilkan pengarah hebat, filem itu juga menyaksikan gandingan pelakon handalan seperti Zul Ariffin yang akan memegang watak utama bersama Farid Kamil, Nabila Huda yang turut menggerakkan watak utama.

Perancangan teliti

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ideate Media, Zainir Aminullah berkata, filem berkenaan mengambil masa yang lama menerusi proses praproduksi kerana mahu memastikan segala perancangan diatur dengan teliti.

Jelasnya, pihak penulisan skrip sangat teliti melalui proses perbincangan untuk memilih babak penting bagi diadaptasi ke layar perak.

"Tidak dinafikan filem ini sudah dilancarkan dua tahun lalu dan sepanjang tempoh itu kami lalui proses praproduksi yang panjang.

"Bukan mudah untuk memilih babak penting daripada novel setebal 600 muka surat dan ia penting untuk memastikan bukan sahaja Ramli Awang Murshid yang berpuas hati, tetapi juga pembaca.

"Selain itu kita juga turut berdepan dengan soal bajet dan sebagainya sebelum memulakan proses penggambaran.

"Malah, kesemua pelakon juga mengikut kelas lakonan dan latihan sebelum memasuki set," katanya.

Tambah Zainir, pihaknya amat mementingkan kualiti dan turut bermatlamat membawa filem itu menembusi pasaran antarabangsa.

Dalam pada itu, Penerbit Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin menyifatkan penghasilan Tombiruo ke layar perak sebagai salah satu medium menguatkan lagi jenama syarikat tersebut.

Di samping itu, pemilihan Tombiruo untuk diadaptasi juga adalah kerana ingin memberikan kelainan dalam karya adaptasi novel yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Sebelum ini, banyak novel cinta yang diadaptasi dan saya rasa sudah tiba masanya kita mencuba sesuatu yang baharu, apatah lagi, novel Tombiruo ini merupakan salah sebuah novel terlaris di Malaysia," katanya.
Powered by Blogger.