F Tiada Magis Dalam 'The BFG' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Tiada Magis Dalam 'The BFG'

BUKAN sekali, tetapi sudah enam kali novel klasik tulisan mendiang Roald Dahl sudah diterjemahkan ke layar perak termasuk yang baharu, The BFG (singkatan untuk The Big Friendly Giant) yang sudah pun membuka tirainya di pawagam tempatan.


Hakikat sebenarnya, bukanlah satu kerja mudah untuk mengadaptasi sebuah karya klasik. Apatah lagi karya itu menjadi kegemaran ramai sehingga mampu diangkat sebagai karya sastera yang memiliki nilai estetika yang cukup tinggi.

Dalam konteks karya Dahl, tidak semua karyanya yang diangkat ke filem mendapat kritikan positif mahupun tersenarai dalam filem yang menjadi kegemaran peminat secara amnya.

Jika lihat dalam direktori sinema Hollywood, hanya dua filem sahaja yang diadaptasi telah berjaya mendapat kritikan positif oleh pengkritik dan peminat filem iaitu Fantastic Mr. Fox (2009) dan Charlie and the Chocolate Factory (2005).

Selebihnya, sama ada mendapat ulasan yang bercampur-baur mahupun negatif. Begitu juga dengan kutipan yang hanya sekadar balik modal atau mencatatkan kerugian kepada penerbit.

Justeru, apabila novel The BFG yang diterbitkan pada tahun 1982 itu menjadi taruhan Walt Disney Studio dengan kerjasama Amblin Entertainment (syarikat produksi milik Steven Spielberg) untuk dijelmakan ke layar perak, ia menjadi satu nilai berita yang cukup tinggi.

Apatah lagi, Spielberg sendiri yang akan mengarahkannya dan perkara itu benar-benar membuatkan ramai yang menantikan hasilnya.

Sementelah karyawan itu sememangnya cukup dikenali sebagai salah seorang sutradara paling berpengaruh di dunia yang mampu menghasilkan magis terutama untuk filem berbajet besar bertaraf filem blokbuster yang sudah terpahat kemas dalam resume Spielberg.

Penulis sendiri begitu teruja kerana menonton sedutan filemnya sahaja penulis membuat kesimpulan bahawa The BFG akan menjadi sebuah filem family oriented yang mampu berbekas di hati seperti mana salah sebuah mahakarya Spielberg iaitu E.T. the Extra-Terrestrial (1982).

Ternyata segalanya meleset apabila penulis tidak mendapat kepuasan seperti mana yang diharapkan. Penulis tidak melihat The BFG sebagai sebuah karya yang spektakular dan penuh magis seperti mana yang Spielberg mampu lakukan dalam filem-filemnya sebelum ini.

Pun begitu, The BFG bukanlah sebuah filem yang begitu teruk tetapi ia tidak mencengkam lalu menjadikan karya ini tersenarai dalam karya yang unforgettable. Entah di mana silapnya hasil kerja Spielberg kali ini sehingga penulis merasakan The BFG bergerak secara mendatar dan tidak ada klimaksnya.

Barangkali Spielberg lebih selesa untuk play safe dengan terikat dengan jalan cerita yang sebenar dan sama seperti mana dalam novel asalnya. Memandangkan The BFG adalah karya yang bukan sembarangan dan mempunyai peminat tegar membuatkan Spielberg dan penulis lakon layarnya, Melissa Mathison tidak mahu terlalu berlebih-lebihan.

Entah mengapa selama hampir dua jam menonton The BFG, fikiran saya terus melayang kepada filem E.T. the Extra-Terrestrial dan terbayangkan persamaan antara dua filem itu yang memiliki tema kasih sayang, persahabatan dan kemanusiaan yang cukup tebal.

Tetapi, di situlah terletak kekurangan The BFG apabila tema itu tidak sampai ke dasar untuk membuatkan penonton benar-benar merasai perasaan antara BFG iaitu gergasi yang memiliki perwatakan baik dan disenangi (lakonan Mark Rylance yang menyumbangkan suaranya) dan Sophie (Ruby Barnhill).

Kedua-dua watak ini tidak mempunyai keserasian yang kuat dan ada ketika kelihatan canggung yang menampakkan mereka sedaya upaya untuk menghidupkan keserasian itu.

Sekali lagi, bukan hendak membandingkan The BFG dengan E.T. the Extra-Terrestrial, tetapi keserasian dua watak utama dalam filem klasik itu lebih meninggalkan impak dan berbekas di hati penulis sehingga ke hari ini.

Di sebalik kekurangan itu, filem yang menelan kos sebanyak AS$140 juta (RM559 juta) itu telah diselamatkan oleh Rylance yang telah menghidupkan watak BFG dengan jayanya. Ternyata Spielberg tidak silap percaturan apabila memilih Rylance yang juga pemenang Oscar itu.

Ekspresi wajah, lontaran suara dan bahasa tubuh BFG seolah-olah hidup dan penulis melihat seperti Rylance yang sebenar di skrin. Lebih-lebih lagi wajah gergasi setinggi 24 kaki itu juga memiliki persamaan dengan wajah sebenar Rylance.

Seperti mana juga dalam filem-filemnya terdahulu, Spielberg masih lagi mempertaruhkan kehebatan maestro muzik tersohor dunia, John Williams dalam menggalas tanggungjawab untuk menghidupkan The BFG dengan hasil skor muziknya.

Ternyata Williams yang merupakan bekas pemenang Oscar sebanyak lima kali itu terus cemerlang dengan muzik yang bergerak sempurna dengan perjalanan cerita The BFG. Tidak keterlaluan skor muzik ciptaan Williams itu telah menutup kelemahan filem ini.

Bagi peminat tegar Spielberg, The BFG sememangnya untuk anda. Untuk mereka yang lain, well, there’s nothing wrong if you want to watch it for entertainment sake. Lain orang, lain pandangannya.


Powered by Blogger.