F Terus pertahan seni warisan Mak Yong | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Terus pertahan seni warisan Mak Yong

BUKAN hanya wanita, watak utama dalam seni tradisional, Mak Yong turut diterajui lelaki dan kedua-duanya juga dipanggil Pak Yong.

Penggiat seni Mak Yong, Rosnan Rahman menjelaskan, ramai keliru dengan penggunaan istilah terbabit.

"Mak Yong adalah satu bentuk tarian Melayu yang merangkumi kombinasi tarian, muzik dan drama.

"Sebenarnya, watak utamanya ialah raja, dimainkan oleh pelakon wanita atau lelaki seterusnya menjadi ‘tulang belakang’ cerita Mak Yong.

"Namun, watak utama itu kebanyakannya dipelopori wanita berbanding lelaki. Sebab itu, ramai kurang menyedari kehadiran Pak Yong yang dibawakan oleh pelakon lelaki," katanya kepada Zass.

Pada masa sama, aktivis berusia 44 tahun itu mengakui sukar mencari pelapis.

Jelasnya, situasi itu timbul apabila adat, kesenian dan kebudayaan Melayu semakin dipinggirkan terutama dalam kalangan generasi muda hari ini.

"Kita rasa moden tetapi kita buta budaya. Saya sedih lihat situasi ini.

"Kita bukan seperti Korea dan Jepun. Walaupun maju dari sudut teknologi, dua negara ini mengangkat serta memartabatkan seni dan budaya.

"Kadang-kadang, pelik juga, di mana silapnya? Kenapa membiarkan seni warisan ini luput ditelan zaman sedangkan ia adalah sesuatu yang harus dibanggakan?

"Sebagai masyarakat Malaysia, kita mestilah mempertahankannya sampai ke akhir hayat," katanya.

Jelasnya, peranan memartabatkan seni budaya Melayu seperti Mak Yong bukan hanya terletak di tangan penggiat seni tetapi digalas bersama.

"Pendedahan awal perlu dilakukan dalam kadar segera. Saya sedih apabila melihat ramai generasi muda hari ini tidak mengenali budaya kita sendiri.

"Mana tahu, di sebalik usaha tersebut, kita berjaya memupuk minat terpendam yang ada di dalam diri mereka," katanya.

Minat mendalam

Kata Rosnan, penglibatannya dalam seni tradisional Mak Yong bertitik tolak daripada rasa minat mendalam.

Tanpa disedari, lulusan seni bina dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini, mewarisi darah keturunan neneknya, Che Semah Saman iaitu Primadona Mak Yong Kedah.

Atas dasar itu, anak kelahiran Pendang, Kedah ini, sanggup meninggalkan bidang kerjaya yang menjanjikan gaji lumayan demi cinta terhadap Mak Yong.

"Saya berjinak-jinak dalam bidang ini ketika menyambung pengajian di USM pada 1995. Mungkin kerana rezeki saya terarah dalam bidang ini, saya bergerak secara profesional pada 2001 selepas bekerja sebagai pegawai kebudayaan di Istana Budaya," kata pelakon filem ...Dalam Botol.

Terus berazam menjadi Pak Yong generasi baharu, Rosnan meletakkan sasaran mempersiapkan diri menyelami ilmu tarian, nyanyian dan lakonan.

"Jujurnya, bukan mudah untuk menguasai seni Mak Yong yang rumit. Namun, jika punya minat, tiada masalah untuk belajar. Pokok pangkalnya minat dan kesungguhan," katanya yang pernah memenangi Aktor Terbaik pada Anugerah Seni Boh Cameronian 2012 menerusi Monodrama Rebab Berbisik.

Mula membina nama menerusi persembahan Mak Yong Dewa Indera Indera Dewa, langkah Rosnan ‘melebar’ ke peringkat antarabangsa.

Antara persembahan dijayakan ialah Teater Zombie La La La, Teater Bawang Putih Bawang Merah, Konsert Nusantara, Konsert Lentera Timur Bersama Siti Nurhaliza, Mak Yong Kesaktian Anak Raja Gondang, Mak Yong Raja Besar Ho Gading, Mak Yong Anak Raja Dua Serupa dan Mak Yong Raja Besar Senyanya.

Anak bongsu lima beradik ini juga mengangkat seni dan budaya ditonjolkan dalam persembahan Mak Yong di peringkat global apabila dijemput membuat persembahan di New York, Perancis, Jerman, Thailand, Singapura, Tokyo dan Seoul.

Rosnan yang juga Timbalan Pengarah (Produksi) di Istana Budaya mengakui tidak akan berjaya jika tiada bimbingan tokoh Mak Yong seperti Datuk Profesor Emiretus Mohamed Ghouse Nasuruddin, Jumilah Tahir, Che Mat Jusoh, Fatimah Abdullah dan Ruhani Md Zain.

"Saya berterima kasih kerana mereka sanggup berkongsi ilmu dan memberi tunjuk ajar seni ini," katanya.

Rosnan bakal mewakili Malaysia bagi program kesenian dan kebudayaan di Korea pada 2 hingga 7 September ini dan India (18 hingga 28 Oktober depan).
Powered by Blogger.