F Terjemahan 'Wan Suraya': Nabila Huda sahut cabaran | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Terjemahan 'Wan Suraya': Nabila Huda sahut cabaran

WAN Suraya, wartawan yang ditugaskan menyiasat kes pembunuhan secara tidak sengaja telah bertemu Ejim @ Tombiruo.

Ejim yang tidak pernah bertemu wanita sepanjang hidupnya merasakan Wan Suraya seorang wanita yang cantik.

Begitulah antara terjemahan watak Wan Suraya di dalam filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang diadaptasi daripada novelis terkenal, Ramlee Awang Murshid.

Menerusi filem ini, Nabila yang mesra disapa dengan panggilan Abil bukan sahaja perlu berlakon di dalam hutan, bahkan perlu mempelajari cara dan penyampaian seorang wartawan TV.

"Sejujurnya saya tidak pernah membaca novel tersebut kerana saya bukan seorang yang boleh menghabiskan masa membaca novel, sebab saya ada perangai yang suka baca muka surat akhir.

"Jadi untuk filem ini, saya baca skrip, dapatkan terjemahan dari Ramlee sendiri dan juga bimbingan dari pengarah, Nasir Jani.

"Lagi pula, Wan Suraya ini digambarkan dari bandar dan dia lebih moden.

"Saya tidak ambil rujukan dari mana-mana, cuma saya ingat cara rakan-rakan wartawan ketika bekerja.

"Di dalam filem ini, saya menjadi wartawan TV, iaitu Sinar TV dan lebih banyak bergerak dengan kamera yang saya rakamkan sendiri," ujarnya.

Tambah Nabila, di dalam filem ini, dia digambarkan sebagai seorang wartawan yang pentingkan kedudukan dan kejar berita yang eksklusif untuk menaikkan nama.

"Bagaimanapun segalanya berubah selepas bertemu Ejim dan dia cuba untuk menjadi seorang wartawan yang menegakkan keadilan," katanya.

Ditanya apa yang membuatkan dia menerima tawaran berlakon di dalam filem ini, ibu kepada Keisha Laila ini berkata, kelainan watak dan jalan cerita yang menarik, telah menariknya ke dalam filem ini.

"29 tahun dahulu, papa (Amy Search) telah bekerja dengan Nasir Jani dan kini anaknya pula. Ia menjadi salah satu faktor saya menerima juga.

"Selain itu, jalan cerita yang menarik serta kelainan watak yang diberikan membuatkan saya tertarik untuk terlibat di dalam naskhah ini.

"Saya juga rasa teruja dan dalam masa saya, filem ini memberi cabaran yang tersendiri buat saya kerana penggambaran banyak dijalankan di dalam hutan dan saya perlu banyak berlari," katanya.

Nabila berkata, filem ini juga tampil dengan sebuah cerita yang mempunyai mesej mendalam untuk difahami bersama.

"Tapi apa pun saya rasa sangat menarik dan lain daripada lain, saya tak sabar menunggu hasilnya nanti," ujarnya.

Tak mengharap

Sementara itu, ditanya harapannya selepas tercalon di dalam Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28) menerusi kategori Pelakon Filem Wanita Terbaik, Nabila berkata, setiap kali tercalon, dia tidak meletakkan harapan besar.

"Saya memang jarang berlakon filem, sebelum ini saya pernah dicalonkan dalam kategori sama pada FFM22 menerusi filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.

"Pada waktu itu juga saya tidak mengharap dan begitu juga kali ini. Bagi saya kalau menang ia ibarat satu bonus.

"Lagi pula yang tercalon sama semuanya hebat-hebat dan ada peluang untuk menang," katanya.

Tambah Nabila, dia amat berterima kasih kepada Syamsul kerana sekali lagi membawa namanya ke pencalonan FFM.

"Saya berikan sepenuh jiwa dan raga saya untuk karakter Maria di dalam filem Munafik dan saya rasa pengorbanan saya itu berbaloi," akhirinya.
Powered by Blogger.