F Terjemahan Tombiruo di mata Ramlee Awang Murshid | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Terjemahan Tombiruo di mata Ramlee Awang Murshid

NOVELIS terkenal, Ramlee Awang Murshid mendedahkan sudah beberapa kali ‘dilamar’ oleh beberapa produksi yang berminat untuk mengadaptasi novelnya ke layar perak.

Bagaimanapun mengakui dirinya seorang yang cerewet, dia terpaksa menolak lamaran yang datang.

Namun berbeza dengan Tombiruo: Penunggu Rimba, Ramlee berasakan naskhah itu merupakan pemilihan yang paling tepat untuk diadaptasi ke layar perak.

“Tidak dinafikan saya sangat cerewet dengan pemilihan cerita. Bagaimanapun sejak novel ini dihasilkan, saya sering bermimpi untuk karya ini divisualkan.

“Tetapi dengan kerjasama yang terjalin, dengan proses praproduksi dan penggambaran yang baik dan teliti, saya yakin filem ini dapat dihasilkan dengan kualiti terbaik.

“Bagi saya ini adalah terjemahan Tombiruo dalam bentuk filem dan terjemahan di minda pembaca, biarlah menjadi pilihan pembaca,” katanya kepada Zass.

Berkongsi mengenai Tombiruo, anak kelahiran Papar, Sabah ini berkata, di negeri kelahirannya, tombiruo adalah hantu mengikut kepercayaan kaum Kadazan Dusun.

Walaupun panggilan tombiruo itu agak janggal dalam masyarakat Semenanjung, bagi Ramlee, tombiruo itu sebenarnya adalah hero.

“Di Sabah, terlalu banyak etnik dan tombiruo ini lebih sinonim dalam masyarakat Kadazan Dusun. Malah, ia adalah istilah yang jarang digunakan dalam masyarakat di Sabah.

“Dari situ, saya cuba memperkenalkan tombiruo menerusi Tombiruo: Penunggu Rimba. Namun, dalam penyampaian itu, saya memperkenalkan tombiruo bukanlah sekadar hantu semata-mata, ia lebih kepada hero.

“Senang cerita, tombiruo adalah semangat dan roh yang tidak berbentuk tetapi bersifat. Sifatnya menakutkan dan muncul dalam pelbagai gambaran,” katanya.

Novel Tombiruo: Penunggu Rimba diterbitkan sejak 1998 menerusi syarikat penerbitan Alaf21. Sehingga kini, penjualan novel ini masih berterusan malah turut muncul sebagai karya ‘Top 10’ di kebanyakan toko buku.

Terlibat sepenuhnya

Berkongsi mengenai pembikinan filem ini, Ramlee turut terlibat 100 peratus di dalam proses skrip dan pemilihan pelakon.

Pada awalnya, dia sudah mempunyai senarai pelakon pilihan, namun menerusi beberapa perbincangan, dia bersetuju dengan barisan pelakon yang dipilih.

“Saya tidak kata pilihan saya salah, atau pilihan saya betul. Tetapi ada pelakon yang saya mahukan tidak ada kelapangan dan ada pelakon yang datang uji bakat, saya rasa lebih bagus dari pelakon yang saya mahukan, maka kita pilih yang lebih bagus.

“Pendek kata, kami capai kata sepakat bersama dan saya puas hati dengan semua pemilihan yang dibuat. Malah jika ada kelapangan, saya turut ke lokasi penggambaran dan setakat ini saya sangat berpuas hati dengan proses penggambaran.

“Saya percaya filem ini akan menjadi sebuah karya yang baik,” katanya.

Apa yang diharapkan, pembaca dan orang ramai akan turun menyaksikan filem ini apabila ia ditayangkan kelak.
Powered by Blogger.