F Teater muzikal kanak-kanak Sarian Tiana penuh mesej | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Teater muzikal kanak-kanak Sarian Tiana penuh mesej

PERSEMBAHAN teater muzikal ini adalah julung-julung kalinya menggabungkan tenaga antara anak murid dan cikgu. Dengan gabungan pelakon cilik dari usia empat tahun hingga 14 tahun, teater muzikal ini berjaya melahirkan generasi muda yang cintakan kedamaian dan kebersihan.

Sarian Tiana mengetengahkan konsep kesedaran sivik secara menyeluruh di mana ia secara tidak langsung memaparkan senario yang berlaku di Malaysia berserta halangan yang boleh mengganggu gugat penyuburan semangat kesedaran sivik.

Ianya bukan sahaja pementasan infotainment malah lebih kepada memupuk kesedaran sivik yang sempurna di kalangan generasi muda.

Teater arahan Fateha Hanif ini juga mengemukakan cadangan penyelesaian dalam mengukuhkan lagi semangat kesedaran sivik khususnya di kalangan generasi muda menerusi kehalusan seni lakon dan nyanyian.

Semangat sayangkan negara diperluaskan dari mempertahankan keberadaan tanah air, masyarakat, kesedaran sivik sehingga kepentingan menjaga bumi secara keseluruhannya.

Projek teater muzikal ini juga merupakan antara usaha Kengkawan Project bersama Shafi Vocal Studio menyokong kempen kerajaan dan mengajak generasi muda yang baru mengenal erti kehidupan dalam membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia menerusi pendekatan seni persembahan.

Berkisarkan mengenai Eliah dan Fea mewakili manusia hidup dalam dunia yang kotor di mana manusia dilihat tidak mempedulikan persekitaran dan makhluk dunia yang lain. Eliah dan Fea mengimpikan kehidupan yang lebih baik dan impian itu membuatkan mereka terus hidup.

Pada satu hari mereka ternampak cahaya yang terang datang dari laut dan terpesona dengan cahaya tersebut. Mereka terus dibawa ke dasar laut dan masuk ke dunia Ratu Sisca. Di situ mereka melihat satu kehidupan yang jauh berbeza dari manusia di mana kerajaan Ratu Sisca sangat utuh dengan kebergantungan sesama sendiri yang melahirkan empayar yang kukuh.

Rakyat Ratu Sisca mengamalkan hidup yang sihat dan positif tanpa perbalahan sesama sendiri. Eliah dan Fea mempelajari bahawa makhluk dasar laut memelihara alam sekitar yang telah dimusnahkan  manusia sendiri.

Mereka mampu menukar sampah yang dibuang manusia menjadi sesuatu yang berguna. Akhirnya mereka bertmu Puteri Tiana yang taksub dengan manusia. Cahaya yang mereka nampak sebenarnya terpancar melalui sarian (tongkat sakti) Puteri Tiana yang membawa Eliah dan Fea ke dunia ajaib ini.

Eliah dan Fea tiba ke dasar laut pada waktu yang tepat di mana Temasya Marella yang merupakan keraian tahunan yang diamalkan dari zaman berzaman bakal berlangsung. Temasya itu merai keutuhan rakyat Ratu Sisca dan salah satu platform mempamerkan semangat patriotisme dan memberi penghargaan kepada ciptaan inovatif yang baru.

Malangnya, semasa temasya itu berlangsung manusia telah membuang sisa toksik secara haram dan berleluasa sehingga mengakibatkan dasar laut musnah. Apa yang terjadi seterusnya?

Orang ramai dipelawa untuk bersama-sama datang ke Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kuala Lumpur pada 27 Ogos (Sabtu) jam 3 petang bagi menyaksikan teater menarik ini secara percuma.

Kelas ATS beri pendedahan

Teater Sarian Tiana merupakan titik tanda kepada kelas pembelajaran melalui nyanyian Acting Through Song (ATS) tahap 1. Seramai 27 pelajar terlibat berusia antara empat hingga 15 tahun akan mempersembahkan hasil daripada usaha gigih yang dilakukan sejak tiga bulan lalu.

Pengetua yang juga pemilik Shafi Vocal Studio, Shafizawati Sharif atau lebih terkenal dengan nama Cikgu Shafi berkata, ATS memulakan pengambilan pelajar sesi pertama pada Mac 2016 di mana sesi selama enam bulan itu diakhiri dengan persembahan teater muzikal Sarian Tiana.

“ATS memberi pembelajaran alternatif dengan cara memupuk dan melatih anak-anak kecil serta golongan dewasa untuk meneroka potensi diri dalam bidang seni lakonan dan nyanyian.

“ATS sangat menitikberatkan pelajar yang lemah, tidak aktif, malu, kurang keyakinan diri dalam berkomunikasi untuk lebih menonjol sebaris dengan pelajar yang aktif,” katanya.

Menurutnya, pendedahan dan penglibatan awal dalam teater muzikal menuntut anak-anak ini mengamalkan disiplin diri, sahsiah diri dan menghormati diri sendiri serta orang lain.

“Ia juga membuka pelbagai peluang untuk berkembang sebagai pelajar, guru, pelakon, penyanyi malah sebagai tenaga profesional juga di mana ia adalah proses pembelajaran sepanjang hayat.

“Sepanjang pengalaman mengajar selama 17 tahun, saya dapati nilai artistik setiap individu itu tidak datang dengan sendirinya tanpa dibantu dengan latihan dan ilmu.

Percaya proses perkembangan seni itu harus dipupuk sejak kecil lagi dan melalui pendidikan seni persembahan seseorang individu dapat memperbaiki beberapa perkara penting pada diri mereka.

“Antaranya ialah kreativiti, keyakinan diri, daya menyelesaikan masalah, fokus, komunikasi tanpa verbal, menerima maklum balas secara konstruktif, dedikasi, kebertanggungjawaban serta kolaborasi,” katanya yang turut menghargai segala kerjasama yang diberikan semua pihak terutamanya Kengkawan Project, jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan ibu bapa pelajar sendiri.

Sarian Tiana naskhah mendidik

Tema teras teater ini ialah memupuk kesedaran menjaga alam sekitar di kalangan anak-anak serta kepentingannya kepada manusia, semua makhluk di muka bumi dan khazanah dasar laut.

Naskhah hasil karya Fateha Hanif dan Eiza Ali ini menggabungkan kehidupan di darat dan di laut di mana ia turut menerapkan unsur kontemporari yang ditonjolkan melalui skor muzik, lakonan serta penceritaan secara keseluruhan.

Menurut Fateha, teater berkenaan lahir atas daya imaginasinya yang gemar menerawang ruang lingkup alam fantasi. Cetusan ilham mudah iaitu mengenali kekuatan diri dan mempertahankan khazanah bangsa telah melahirkan cerita yang akhirnya menyentuh lapisan dan isu yang lebih besar.

“Sarian Tiana adalah tentang sifat seorang puteri dalam diri di mana kita semua sebenarnya bagaikan puteri. Walaupun kita bukanlah seorang puteri yang selalu dibayangi atau menjadi idaman namun kita berdaya menyerlahkan sifat puteri dalam diri masing-masing dan menyahut cabaran hidup.

“Saya percaya setiap individu mempunyai sisi baik dan gelap, kemahuan individu itu sahaja mampu mengurangkan sisi gelapnya demi kebaikan bersama. Memetik kata-kata Ratu Sisca sebagai penutup kata ‘Be good now for the best of tomorrow’,” katanya.

Berkongsi pengalaman melatih anak-anak berusia 4 hingga 15 tahun yang terlibat dalam teater ini, Fateha berkata situasi mungkin sukar jika tenaga pengajar tidak ‘masuk’ ke dalam dunia kanak-kanak itu sendiri.

“Situasi pembelajaran seharusnya menyeronokkan dan ia dapat mempengaruhi mereka untuk ingat watak dan tanggungjawab masing-masing sekali gus melancarkan lagi sesi latihan insentif yang dijalankan selama tiga bulan.
Powered by Blogger.