F Teater amal Mayang | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Teater amal Mayang

BUAT julung kalinya, Rhythm Arts Production (RAP) akan mementaskan teater amal, Mayang. Pengurus operasi dan pengarah projek, Saufi Sulaiman berkata, pementasan teater itu adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya yang ditubuhkan sejak Februari lalu.

“Ia bertujuan memberi sokongan bantuan kepada 50 kanak-kanak cacat penglihatan di bawah naungan Supporting Early Education Development (Seed) Malaysia.

“Pementasan teater ini sebagai usaha untuk mengumpul dana bagi menghasilkan ‘Audio Book’ pertama buat kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan.

“Oleh itu, kami menghulurkan bantuan melalui sebahagian kutipan tiket teater tersebut,” katanya.

Jelasnya, teater Mayang berada di bawah pimpinan tiga pengarah kreatif iaitu Awish Adam, Hamid Akcali dan Adilla Ismail selain mendapat rujukan serta nasihat daripada Profesor Dr Norasikin Basir dari Jabatan Sosiologi & Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

“Pementasan yang penuh dengan elemen tradisi, persepsi dan pengajaran buat penonton ini turut melibatkan 45 sukarelawan yang terdiri daripada graduan universiti, aktivis teater serta sukarelawan amal dan latihannya sudah bermula sejak Mei lalu.

“Kami mahu melahirkan lebih ramai modal insan di dalam bidang seni tanpa mengira populariti mahupun kuantiti kerana itu adalah fokus utamanya,” katanya.

Cerita legenda

Mengulas lanjut, teater Mayang bertitik tolak daripada cerita legenda Ulek Mayang.

Menurut pengarahnya, Awish dan Hamid, Mayang mengisahkan percaturan watak utamanya, Ali (dilakonkan oleh Azid Azidee) yang turun ke laut bersama-sama rakannya dan itu merupakan satu kesilapan besar.

Namun, kedua-dua pengarah itu tampil dengan kelainan apabila buat pertama kalinya, Mayang akan menyajikan sebuah perjalanan kisah legenda di luar minda sedar manusia menerusi kehadiran persoalan entiti masa.

“Kami membawakan watak baru Mimiana (dilakonkan oleh Firzana Redzuan) yang mempersoalkan tradisi dan persepsi masyarakat terhadap Mayang itu sendiri. Persoalannya, adakah Mayang ini sama seperti yang diperkatakan manusia?

“Teater ini bukan sahaja naskhah yang dilahirkan melalui bacaan dan pengalaman kami sebagai generasi muda dalam mentafsirkan sesebuah pengajaran.

“Ia juga penuh dengan metafora yang ingin disampaikan melalui elemen seni eksperimental, drama, komedi bersahaja, tarian, nyanyian serta lakonan mantap daripada semua yang terlibat,” katanya.

Tambahnya, dengan hasil kreatif daripada pemuzik dan penyanyi, sebuah lagu tema (OST), Aku Penglipur Lara turut dihasilkan.

“Lagu ini sudah boleh didengari di laman sosial, YouTube,” katanya.

Teater amal Mayang bakal dipentaskan di Black Box, Damansara Performing Arts Centre (DPAC) pada 12 hingga 14 Ogos depan.

Harga tiket bermula RM35 (pelajar) dan RM40 (orang awam). Selain itu, diskaun 10 peratus juga akan diberikan bagi pembelian secara pukal bagi kategori tiket orang awam.

Maklumat terkini dan perkembangan mengenai teater ini boleh diikuti di laman sosial Twitter, Facebook dan Instagram menerusi kata kunci #Mayang dan #TeaterAmalMayang.
Powered by Blogger.