F Taufik Batisah mahu terus perkukuh kerjaya | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Taufik Batisah mahu terus perkukuh kerjaya

Awak kat mana, awak awak kat mana (yeaa)
Awak kat mana, awak awak kat mana (ditanya tanya lagi)
Awak kat mana, awak awak kat mana (yeaa)
Awak kat mana, awak awak kat mana (ditanya tanya lagi)”

BIARPUN sudah 12 tahun berkecimpung di dalam industri seni, tidak dapat dinafikan, populariti lagu Awak Kat Mana telah melonjakkan lagi nama Taufik Batisah.

Tidak hanya popular di tempat kelahirannya, Singapura, Taufik juga cukup dikenali di Malaysia dan Indonesia.

Kini, selepas mengukuhkan nama di arena seni suara, Taufik memberanikan diri melangkah setapak ke hadapan dengan menyertai industri seni lakonan.

Baru sahaja muncul dengan filem pertamanya, Dukun Doktor Dani arahan Sabri Yunus, Taufik juga akan tampil dengan filem keduanya, Soulmate bersama Raja Ilya dan Erra Fazira yang dijangka tayangannya tahun hadapan.

Bercerita mengenai filem Dukun Doktor Dani, Taufik yang memegang watak sebagai Doktor Dani berkata, dia ingin mencuba dan mempelajari sesuatu yang luar dari keselesaannya.

“Alhamdulillah apabila diberikan tawaran ini dan saya dapat tahu ia arahan Abang Sabri, saya tidak berfikir panjang untuk menerima.

“Bagi saya, filem ini adalah peluang emas untuk saya mengorak langkah ke dalam dunia lakonan di Malaysia.

“Dalam masa yang sama, peluang ini juga saya ambil untuk mempelajari dan perbaiki diri saya sebagai seorang pelakon,” katanya kepada Zass.

Tambah Taufik, dia berterima kasih kepada Sabri yang banyak mengajarnya sepanjang berada di lokasi.

“Abang Sabri seorang yang sangat bijak dan rendah hati. Saya sangat selesa bekerja dengannya sebab dia sentiasa bersedia untuk membantu saya bentuk watak Dr Dani dan tidak pernah lokek berkongsi ilmu.

“Pernah beberapa kali saya tidak dapat menyampaikan dialog saya dengan baik, tidak sekali pun dia marah.

“Dia sentiasa tenang memberi saya panduan untuk perbaiki lakonan saya. Saya rasa sangat bertuah dan bangga dapat peluang berlakon di bawah abang Sabri Yunus,” katanya.

Menerima respons yang sangat positif, Taufik berkata, dia bersedia untuk berhijrah dan menetap di Malaysia bagi memberi fokus sepenuhnya terhadap bidang lakonan.

“Alhamdulillah setakat ini, saya terima respons yang positif daripada peminat dan pihak media. Saya harap orang ramai dapat menonton filem ini dan mengamati mesej-mesej yang terkandung di dalam filem Dukun Doktor Dani.

"Insya-ALLAH, sekiranya saya menerima respons yang baik dan lebih banyak tawaran lakonan selepas ini, saya bersedia untuk menetap di Malaysia dengan lebih lama lagi untuk perkukuhkan kerjaya saya," katanya.

Mengimpikan untuk mencuba pelbagai watak, Taufik berkata, antara karakter yang paling diidamkan adalah watak antagonis.

“Saya ingin mencuba membawakan watak antagonis. Bagi saya karakter yang memerlukan kita menjadi jahat sebenarnya adalah cabaran yang sangat menarik untuk dicuba,” katanya.

Makin bahagia

Berkongsi perkembangan terkininya, Taufik berkata, selain sibuk dengan promosi filem Dukun Doktor Dani, dia kini sibuk dengan penulisan lagu.

“Saya dalam proses menyiapkan lagu untuk Datuk Rossa. Dalam masa sama, saya ada terlibat dengan beberapa projek melibatkan Kerajaan Singapura,” katanya.

Selain itu, Taufik turut tercalon untuk enam kategori pada Anugerah Planet Muzik 2016.

Diusik mengenai kehidupannya selepas bergelar suami, Taufik berkata, dia bersyukur dapat menjadikan sahabat baiknya sebagai isteri.

“Kesabaran dan faham memahami antara suami isteri sangat penting dan saya sangat beruntung dapat isteri seperti Sheena. Tidak banyak perbezaan ketara sebelum dan selepas bergelar suami, semuanya sama sahaja,” katanya.
Powered by Blogger.