F Setiap Hari Dia Minta Saya Ceraikannya - Along Cham | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Setiap Hari Dia Minta Saya Ceraikannya - Along Cham

Pelawak popular, Along Cham, 33, akhirnya tampil memberi penjelasan menenai krisis rumah tangganya yang mula hangat diperkatakan sejak minggu lalu.

Memetik laporan BH online, Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad berkata, selagi boleh, dia mahu menutup aib dan mempertahankan rumah tangga atas dasar cinta sejak enam tahun lalu.

Namun, demi mempertahankan maruah diri dan keluarga, lebih-lebih lagi ibu bapa yang menggalas tanggungjawab membantunya menjaga Danial di Johor Bahru, anggota Kumpulan Cham itu terpaksa bersuara.

Along dan isterinya, Zila Seeron, 28, dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ahmad Danial, 5.

"Malu keluarga saya apabila dia mendakwa kami tidak mengizinkannya menjenguk anak. Dia kena fikir ibu bapa saya menjaga anak yang dikandung dan dilahirkan. Sepatutnya dia berterima kasih pada keluarga saya.

"Apabila mendakwa kami tidak membenarkan dia menjenguk anak, seolah-olah ibu bapa saya kejam dan cuba memisahkan ibu dan anak. Saya tidak kisah jika dia memburukkan saya, tetapi tolonglah jaga hati keluarga saya.

"Hairannya, kenapa selepas berbulan-bulan baru ada perasaan rindu yang teramat sangat pada anak? Mana perginya naluri seorang ibu ketika rancak mencetuskan perbalahan dan minta saya menceraikannya setiap hari dalam perbualan telefon?" katanya.

Tambahnya, dia tidak pernah melarang Zila berjumpa Ahmad Danial.

"Saya fikir tiada istilah melarang berjumpa anak kerana dia tahu di mana anak kami berada. Bukan dia tidak tahu jalan ke rumah keluarga mentuanya?

"Lagi satu, tidak logik keluarga saya akan menghalaunya jika dia sudah berada di depan pintu rumah. Keluarga saya tidak pernah campur tangan dalam masalah rumah tangga kami. Mungkin jika dia datang dan menundukkan keegoannya, rumah tangga kami masih dapat diselamatkan.

"Bagi saya, mahu seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Sepanjang Syawal hingga hari ini, kami menantikan kedatangannya dengan keluarga tetapi batang hidung pun tidak nampak menjenguk anak kami," katanya.

Along berkata, dia menfailkan saman nusyuz terhadap Zila baru-baru ini disebabkan tindakannya keluar tanpa meminta izin suami.

"Bagaimanapun, hanya ini yang boleh saya ceritakan kerana kes perceraian kami masih dalam perbicaraan," katanya yang berusaha menyelamatkan mahligai dibinanya itu.
Powered by Blogger.