F Serah barang kemas demi negara | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Serah barang kemas demi negara

Beliau sanggup menyerahkan barang kemas miliknya kepada Bapa Kemerdekaan negara, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

Itu antara pengorbanan besar dilakukan oleh Datuk Siti Rahmah Kasim, 90 yang menerima anugerah Tokoh Wanita Negeri Sembilan 2016, semalam.

Mengimbas kembali sejarah, ketika peristiwa di Melaka, Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya menceritakan betapa sukarnya untuk menghantar rombongan ke London untuk berunding dengan kerajaan British bagi menuntut kemerdekaan negara.

Siti Rahmah yang berasal dari Kampung Batu Hampar, Rembau yang ketika itu berada di kerusi barisan hadapan secara spontan telah bangun dan menyeru semua kaum ibu yang hadir supaya mendermakan barang kemas.

Beliau telah mencabut gelang emas pemberian ibunya dan memegang selendang bersama seorang rakannya dengan berjalan untuk mendapatkan derma daripada hadirin pada majlis tersebut.

Bagi tokoh wanita itu, kepentingan negara mengatasi segala-galanya.

Kemudian, beliau terlibat dalam dunia politik pada tahun 1946 pada usia 20 tahun kemudiannya memenangi pilihan raya kawasan Terentang, Rembau mewakili Umno dan menjadi wanita pertama bergelar wakil rakyat di negeri ini hingga tahun 1969.

Siti Rahmah yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) negeri melahirkan rasa terharu dan berterima kasih di atas penghargaan dinobat sebagai Tokoh Wanita Negeri Sembilan 2016 yang disampaikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita 2016 Peringkat Negeri Sembilan di Bangunan NSWO, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Siti Rahmah menerima replika cek bernilai RM15,000, sijil penghargaan, plak cenderamata, bunga dan turut dikalungkan selempang Tokoh Wanita Negeri Sembilan 2016.

Selain aktif sebagai Pengerusi Perkim negeri, beliau juga memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi Mubarak negeri, Naib Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) negeri dan juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ibu Tunggal negeri.

Antara anugerah yang diterimanya ialah Tokoh Wanita Umno Malaysia, Tokoh Maal Hijrah Daerah Rembau (2002), Tokoh Wanita Perkim (2005 & 2013), Anugerah Pengkisahan Sejarah ‘Wira Tak Dicanang’ (2010) dan banyak lagi.
Powered by Blogger.