F Sentuhan Bollywood Dalam 'Warna Cinta Impian' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Sentuhan Bollywood Dalam 'Warna Cinta Impian'

FILEM terbaharu arahan N.S Krishnan, Warna Cinta Impian menjadi sebuah naskah diingati kerana ia berjaya menggandingkan dua nama besar iaitu Awie dan Erra Fazira dalam sebuah naskah selepas 20 tahun.

Meskipun mereka berdua tidak menerajui peranan utama namun ia sudah cukup untuk mengubat hati peminat yang merindui melihat pelakon filem Sembilu itu di layar perak.

Menolak tepi kisah duka yang pernah melanda mereka berdua, keserasian Awie dan Erra cukup semulajadi selain menggamit memori.

Bagaimanapun, Warna Cinta Impian bukan sahaja mengenai pasangan itu tetapi Krishnan menawarkan sebuah filem yang cukup menarik sarat dengan tema Bollywood.

Biarpun ada yang menyamakan idea naskah berkenaan dengan Dilwale namun proses produksi filem itu telah pun bermula sejak 2013.


Jalan ceritanya boleh dianggap biasa dan klise namun olahan Krishnan menerusi tema Bollywood memberikan impak berbeza kepada filem arahannya dalam menjadikan ia lebih menarik.

Warna Cinta Impian mengisahkan percintaan dan konflik kehidupan dunia moden antara Daniel, seorang arkitek dan Diana seorang peguam menjadi nadi percintaan.

Mereka cuba untuk menyemai rasa cinta dalam rumah tangga, tetapi keegoan dan kegagalan percintaan silam masing-masing menimbulkan pelbagai konflik dalam kehidupan mereka.

Kemudian, ketegangan pula bermula dengan kemunculan Erra (Erra Fazira) kakak angkat Daniel yang menetap di luar negara menggamit kenangan silam cintanya bersama Awie (Awie) yang kecundang lebih dua dekad lalu.

Secara kebetulan, Awie pula merupakan abang kandung kepada Diana.

Erra dan Awie mengambil keputusan untuk mengetepikan duka lama demi menyelamatkan perkahwinan Daniel dan Diana.


Dalam pada itu, pemilihan lokasi penggambaran di luar negara termasuk Jaipur, India dan Sydney, Australia memberi tambah nilai kepada seni visual karya berkenaan.

Malah ia sinematografinya dihasilkan cukup baik dan pujian harus diberikan atas usaha produksi dalam mencari lokasi menarik sebagai latar filem itu.

Menyentuh mengenai lakonan, kemunculan Shiqin Kamal menerusi watak Diana tidak menghampakan malah ia digalas dengan cukup baik.

Meskipun kariernya agak perlahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini namun jelas dapat dilihat Shiqin tidak memandang ringan terhadap kepercayaan diberikan kepadanya dan memberikan lakonan cemerlang.

Shiqin berjaya menzahirkan wataknya dengan bersahaja walaupun gandingannya dengan pelakon baharu Erwin Dawson tidak mempunyai keserasian semulajadi.

Erwin yang kelihatan terlalu mencuba gagal membawa wataknya sebagai Daniel yang sepatutnya mempunyai lebih karisma dan kewibawaan.

Barangkali wajah keanak-anakkan yang ada padanya membuatkan gandingan bersama Shiqin tidak menyerlah dan pada akhirnya memberi kesan kepada lakonannya yang lemah.


Powered by Blogger.