F Seikhlas Cinta bukti kemampuan diri Sherry Ibrahim | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Seikhlas Cinta bukti kemampuan diri Sherry Ibrahim

DENGAN melupakan perkara menyedihkan dan menyakitkan, kini Sherry Ibrahim mampu untuk terus tersenyum dengan pelancaran single pertamanya berjudul Seikhlas Cinta.

Menurut bintang drama Teduhan Kasih ini, hadir sebagai seorang penyanyi selepas hanya bergelar pelakon sebelum ini merupakan impian yang menjadi kenyataan buat dirinya.

“Terlalu banyak halangan dan rintangan yang saya lalui sepanjang percubaan untuk mengeluarkan single ini. Akhirnya ALLAH SWT mengabulkan permintaan saya.

“Pada hari yang sama juga dapat melancarkan produk kecantikan Deeja Cosmetic di mana saya merupakan penaja bersama produk ini.

“Jadi, saya bersyukur kerana kedua-dua perkara penting ini selamat dilancarkan dan berharap agar lagu dan produk ini akan mendapat sambutan,” katanya selepas pelancaran di Dewan Mercu Mustapha Kamal, Neo Damansara di sini.

Menurutnya, walaupun terpaksa mengeluarkan kos sendiri bagi menghasilkan single yang digubah oleh komposer dan penulis lirik, Hadi Hassan dan J Looi itu, Sherry berpuas hati dengan hasil yang diterima.

“Ia (menyanyi) memang impian Sherry sejak kecil lagi. Apa yang dilakukan adalah usaha untuk menggapai impian diri dan tidak ada perkataan kesal untuk saya terus melangkah dalam industri hiburan.

“Saya berharap lagu ini diterima peminat selepas banyak juga yang meminta saya menjadikan nyanyian pula sebagai kerjaya selepas menjadi naib juara dalam program Gempak Superstar,” katanya.

Dedah Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 33, penyertaannya dalam program itu juga telah banyak mengubah dirinya ke arah positif dan menjadikan dirinya seorang yang berkeyakinan tinggi serta kreatif.

“Saya gembira kerana melalui program berkenaan saya dapat merealisasikan impian untuk bergelar penyanyi apatah lagi ia menjadi platform terbaik buat saya untuk mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian.

“Walaupun saya perlu melalui perjalanan yang agak panjang untuk sampai ke sini, namun kelahiran lagu pertama ini sudah pasti memberi seribu makna untuk menzahirkan makna sebenar keikhlasan dalam hidup ini.

“Ia bukan bermakna ikhlas kepada pasangan sahaja, tetapi lebih penting keikhlasan terhadap diri sendiri, hubungan dengan ALLAH SWT, ibu bapa, rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang ada di sekeliling hidup kita,” katanya.

Enggan menoleh

Demi mencapai kejayaan, Sherry turut menegaskan tidak mahu dirinya dikaitkan lagi dengan bekas kekasihnya sama ada Fattah Amin mahupun Ashraf Muslim.

“Seboleh-bolehnya, saya tidak mahu bercakap lagi mengenai mereka, lagipun tidak manis untuk saya bercakap mengenai mereka lagi kerana masing-masing juga mencari rezeki dalam industri sama.

“Saya juga tidak mahu dikaitkan dengan Ashraf kerana kami sudah lama berpisah. Tidak perlu dan tiada kepentingan untuk kami dikaitkan lagi kerana dia sendiri sudah pun berbahagia bersama keluarganya. Dia juga tidak perlu menghubungi saya dan nama Ashraf tidak perlu diungkit lagi,” katanya.

Ketika Fattah mengumumkan berita perpisahan mereka, Sherry sedang bercuti selama seminggu di Doha dan sudah pasti dirinya terkejut dengan pengumuman berkenaan kerana mereka sudah terlebih dulu berbincang akan memaklumkan mengenai perpisahan terbabit selepas selesai pelancaran single pertamanya.

Ditanya adakah keputusan untuk berpisah dibuat secara bersama, Sherry menjelaskan, ia adalah kemahuan sebelah pihak, namun dia sesekali tidak akan menjatuhkan lelaki yang pernah bertakhta di hatinya.

Menafikan jarak umur tujuh tahun merupakan penghalang cinta mereka, Sherry berkata, semuanya (kelangsungan hubungan) bergantung pada diri sendiri sama ada ikhlas atau pun tidak.

“Jika orang sudah tidak mahu, takkan kita nak paksa? Ia bukan benda yang malu untuk diperkatakan. Bagaimanapun, saya yakin dan percaya apa yang terjadi ada hikmahnya.

“Apa yang saya mahukan adalah nama saya dibersihkan daripada perkara tidak benar, seperti dakwaan mengatakan diri saya mengongkong dan sebagainya,” katanya sambil memberitahu dia dan Fattah tidak mungkin akan berlakon bersama selepas ini walaupun diberikan peluang berbuat demikian.
Powered by Blogger.